Rahsia Catnip: Kebaikan Untuk Kucing Dan Manusia | Universiti Putra Malaysia
» ARTICLE » Rahsia Catnip: Kebaikan untuk Kucing dan Manusia

Rahsia Catnip: Kebaikan untuk Kucing dan Manusia

Article Summary
Pelbagai kaedah untuk ekstrak catnip seperti daun sebagai teh herba bagi mengurangkan simptom seperti kembung perut, kekejangan, dan bertindak sebagai agen antiradang serta melegakan masalah penghadaman.


Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin

 

 

 

Kucing mempunyai tindak balas yang unik terhadap catnip kerana tumbuhan ini boleh merangsang rasa gembira kepada mereka. Lebih separuh populasi kucing menunjukkan tingkah laku yang lebih tenang atau seolah-olah sedang jatuh cinta, menyerupai reaksi manusia terhadap bahan yang menjadikan mereka gembira dan seronok itu (euforia).

 

Walau bagaimanapun, tidak semua kucing mengalami kesan ini. Menurut Pegawai Veterinar, Hospital Veterinar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Nor Alimah Rahman, hanya 50 hingga 60 peratus kucing yang mampu mengesan bau catnip termasuk anak kucing dan kucing berusia mungkin tidak terkesan langsung.

Catnip, atau nama saintifiknya Nepeta cataria, adalah sejenis herba perenial yang tergolong dalam keluarga mint (Lamiaceae). Ia dikenali melalui daunnya yang berbentuk hati, bergerigi, batang berbulu serta warna kehijauan-abu.

 

Tumbuhan ini berasal dari timur Mediterranean, timur Himalaya, dan Amerika Utara, serta terkenal dalam kalangan pemilik kucing kerana tindak balas unik yang dicetuskannya.

Meskipun catnip bukan bahan toksik dan tidak menyebabkan ketagihan, pengambilan dalam kuantiti yang berlebihan boleh mengundang reaksi seperti keracunan pada kucing.

Adakah tumbuhan catnip boleh digunakan manusia?

Selain manfaatnya terhadap kucing, catnip juga telah lama digunakan dalam perubatan tradisional manusia. Ia terkenal kerana sifat penenangnya dan sering digunakan untuk membantu merawat gangguan tidur, masalah penghadaman, dan kesakitan otot.

 

Menurut Ketua Jabatan Perlindungan Tumbuhan, Fakulti Pertanian, UPM, Dr. Dzarifah Mohamed Zulperi, tumbuhan ini telah digunakan sejak zaman dahulu dalam rawatan tradisional.

 

Pengambilan dalam dos yang rendah adalah selamat untuk manusia  yang turut berfungsi  sebagai penenang ringan dan boleh membantu mereka yang mengalami insomnia atau kegelisahan.

 

Pelbagai kaedah untuk ekstrak catnip seperti daun sebagai teh herba bagi mengurangkan simptom seperti kembung perut, kekejangan, dan bertindak sebagai agen antiradang serta  melegakan masalah penghadaman.

 

Ekstrak catnip mempunyai sifat anti-radang yang boleh membantu dalam rawatan sakit otot dan sendi, mengurangkan sakit kepala dan migrain.

 

Walaupun catnip mempunyai pelbagai manfaat, penggunaannya perlu berhati-hati kerana mempunyai kesan sedatif dan boleh berinteraksi dengan ubat lain seperti sedatif dan ubat tidur  yang berpotensi menyebabkan kesan sampingan yang tidak diingini.

 

Meskipun terdapat produk berasaskan catnip seperti teh herba dan minyak pati di pasaran, permintaan terhadapnya masih rendah di negara-negara Asia. Ini mungkin disebabkan  kurangnya pendedahan serta kajian yang lebih mendalam mengenai khasiat catnip terhadap manusia.

 

Bagi individu yang mempunyai alahan terhadap pudina dan selasih, mungkin mengalami reaksi alergi terhadap catnip. Oleh itu, sebelum mengambil catnip sebagai ubat-ubatan atau suplemen, individu dinasihatkan untuk mendapatkan nasihat daripada pakar kesihatan atau farmasi terlebih dahulu.

 

Date of Input: 13/03/2025 | Updated: 13/03/2025 | syamilakamarul

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BYDOBAp~