Article Summary
UPM melihat tetuang sebagai simbol kesedaran budaya yang perlu disemai agar generasi baharu memahami bahawa setiap tiupan bukan sekadar bunyi, tetapi seruan ilmu yang mengiringi mereka sewaktu diraikan semasa bergraduasi.
Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin

Setiap kali Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) berlangsung, Dewan Besar Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS) akan dipenuhi gema tetuang, alat warisan Melayu yang menjadi simbol pembuka majlis gilang gemilang itu.
Tiupan tetuang yang bergema bersama alunan nobat, ibu dan anak gendang serta gamelan, menjadi detik yang mengikat perhatian seluruh dewan sebelum keberangkatan tiba Tuanku Canselor memasuki ruang istiadat. Pada saat itu, graduan, ibu bapa dan para pensyarah seolah-olah terhenti seketika, menyambut aura istiadat yang hanya hadir sekali sepanjang perjalanan akademik seorang mahasiswa.
Tetuang, alat tradisional yang diperbuat daripada tanduk kerbau jantan, merupakan alat komunikasi kuno masyarakat Melayu. Dahulu, gema tetuang menjadi isyarat bermusyawarah, pengumuman upacara atau amaran bahaya. Dalam adat tradisi, hanya pemimpin seperti penghulu atau ketua kampung berhak memiliki dan meniupnya sebagai tanda kewibawaan serta penghormatan kepada tetamu besar.
Walaupun zaman berubah, fungsinya sebagai simbol upacara penuh istiadat tetap dikekalkan dalam Majlis Konvokesyen UPM.
Pengarah PKKSSAAS, Husalshah Rizal Hussian, berkata UPM mengekalkan tradisi ini kerana konvokesyen bukan sekadar acara rasmi, tetapi istiadat kemuncak perjalanan ilmu seorang graduan.
“Konvokesyen adalah detik peralihan seorang graduan yang penuh makna. Bunyi tetuang menandakan bahawa majlis ini bukan sekadar penyampaian sijil, tetapi meraikan usaha, kesabaran dan pencapaian yang dibina sepanjang bergelar pelajar,” katanya.
Beliau berkata penggunaan tetuang juga membawa unsur sentimental yang jarang dilihat dalam majlis akademik moden.
“Ia merapatkan dunia ilmu dengan budaya. Dalam dunia teknologi dan globalisasi pada zaman sekarang, tradisi seperti ini mengingatkan warga kampus bahawa ilmu turut berpandukan pada warisan, budi dan identiti,” katanya.

Menurut beliau, UPM melihat tetuang sebagai simbol kesedaran budaya yang perlu disemai agar generasi baharu memahami bahawa setiap tiupan bukan sekadar bunyi, tetapi seruan ilmu yang mengiringi mereka sewaktu diraikan semasa bergraduasi.
Penolong Jurutera PKKSSAAS, Aziz Ngah, berkata kemahiran meniup tetuang bukan sesuatu yang mudah dan memerlukan latihan khusus.
“Tidak semua orang boleh meniup tetuang dengan sempurna. Ia memerlukan teknik yang betul selain kepakaran melodi. Kemahiran inilah yang menjadikan tetuang bukan sekadar alat, tetapi seni yang menghidupkan tradisi,” katanya.
Beliau menyifatkan kesenian meniup tetuang sebagai warisan yang wajar diteruskan kerana setiap alunan membawa roh budaya Melayu yang unik dan mendalam.
Date of Input: 27/11/2025 | Updated: 27/11/2025 | syamilakamarul

43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA