PAUPM Sumbang RM 1.06 Juta Kepada UPM | Universiti Putra Malaysia
» NEWS » PAUPM sumbang RM 1.06 Juta kepada UPM

PAUPM sumbang RM 1.06 Juta kepada UPM


Foto oleh Marina Ismail

SERDANG, 18 April - Persatuan Alumni UPM (PAUPM) menyerahkan cek bernilai RM 1.06 juta kepada Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk meneruskan legasi menyumbang semula kepada universiti itu.

Presiden Persatuan Alumni UPM (PAUPM), Anas Ahmad Nasarudin berkata, sumbangan itu menunjukkan PAUPM sentiasa menyokong aktiviti-aktiviti universiti terutama melibatkan endownment universiti.

“Sumbangan PAUPM kepada UPM ini adalah tradisi sejak awal penubuhannya pada tahun 1971 hingga kini meliputi sumbangan untuk Dana Wakaf Ilmu, Yayasan Pak Rashid, pencetakan Majalah Serdang Sun, Menara Jam Warisan Budi Putra dan Pingat Emas Alumni.



“Kali terakhir sumbangan PAUPM kepada UPM adalah menerusi sumbangan Dana Wakaf Ilmu dalam Majlis Makan Malam Homecoming Homecoming VII -Sirih Pulang ke Gagang bersama Tuanku Canselor UPM pada tahun 2012,” katanya yang berharap PAUPM berusaha mencapai misinya diiktiraf sebagai Persatuan Alumni terbaik di Malaysia.

Beliau menyerahkan cek itu kepada  Naib Canselor UPM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Fauzi Ramlan dan disaksikan mantan Presiden PAUPM, Tan Sri Dato’ Dr. Mohd Noor Ismail selepas Syarahan Perdana Naib Canselor UPM bertajuk UPM-PAUPM: ‘Peranan, Sasaran dan Cabaran’ sempena Mesyuarat Agung Tahunan persatuan itu baru-baru ini.

Turut hadir dalam sesi penyerahan cek itu ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM, Prof. Dato' Dr. Mohammad Shatar Sabran dan mantan Setiausaha Agung PAUPM, Dr. Sharifuddin Abd. Hamid.

Anas juga berkata PAUPM amat menghargai keprihatinan UPM dengan pembayaran yuran keahlian konvokesyen sebanyak RM50 seorang sebagai yuran keahlian automatik selepas bergraduat yang menjadikan sumber utama pendapatan PAUPM sejak tahun 2004.

Pada majlis itu PAUPM melancarkan laman web mereka yang baru iaitu  www.alumniupm.my dan Mesyuarat Agung Tahunan PAUPM pada majlis yang sama melantik ahli jawatankuasa baharu sesi 2015-2017 dengan menyaksikan pelantikan presiden baharu iaitu Dato’ Seri Diraja Syed Razlan Syed Putra Jamalullail.

Penubuhan Yayasan Pak Rashid pada tahun 2000 merupakan usaha gigih PAUPM yang diketuai presiden pada masa itu, Tan Sri Dato’ Dr. Mohd Noor Ismail bagi menghargai sumbangan besar bekas Pengarah Ladang Universiti Pertanian Malaysia iaitu Allahyarham Mohd Rashid Ahmad atau lebih dikenali Pak Rashid.

Bermula tahun 2006 hingga 2014, Persatuan Alumni telah menyumbang hampir RM400 ribu kepada yayasan ini dengan komitmen sumbangan sebanyak RM50 ribu setahun.

PAUPM turut menganugerahkan Anugerah Pingat Emas Alumni beserta wang tunai bermula 1978 sehingga kini kepada graduan cemerlang UPM semasa Konvokesyen sebagai tanda galakan kepada graduan cemerlang UPM.

Hubungi 03- 8946 7243/ 0122818770 untuk maklumat lanjut.


Date of Input: | Updated: | amir_peli

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BXDdHAA~