Bajet 2027 perkukuh pembangunan infrastruktur, modal insan dan ekonomi Sarawak
Belanjawan 2027 berpotensi memperkukuh pembangunan sosioekonomi Sarawak menerusi kesinambungan pelaburan dalam infrastruktur strategik, peluasan akses pendidikan tinggi, pembangunan tenaga kerja berkemahiran serta sokongan kepada perusahaan tempatan.
Timbalan Dekan (Penyelidikan, Pendanaan dan Siswazah), Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains, Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS), Dr. Shairilizwan Taasim berkata, keselarasan antara dasar Kerajaan Persekutuan dengan inisiatif Kerajaan Sarawak penting bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati secara menyeluruh oleh rakyat, termasuk penduduk di kawasan pedalaman dan luar bandar.