AWAS! Penipuan Dalam Talian Menggunakan Nama UPM | Universiti Putra Malaysia
» ARTICLE » AWAS! Penipuan Dalam Talian Menggunakan Nama UPM

AWAS! Penipuan Dalam Talian Menggunakan Nama UPM

Article Summary
Menurut laporan Statistik Jenayah Malaysia 2024 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), jenayah dalam talian mencatatkan peningkatan sebanyak 35.5% dengan 34,532 kes dilaporkan.


Oleh: Hairul Nizam Md Nuri

 

 

Menurut laporan Statistik Jenayah Malaysia 2024 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), jenayah dalam talian mencatatkan peningkatan sebanyak 35.5% dengan 34,532 kes dilaporkan.

 

Jenayah e-Dagang mencatatkan kes tertinggi dalam kategori ini dengan 33.2% daripada keseluruhan kes. Antara bentuk penipuan dalam talian yang sering berlaku termasuk:

 

  • Scam penyamaran institusi: Penipu menyamar sebagai organisasi yang dipercayai, seperti bank, universiti, atau agensi kerajaan, untuk mendapatkan maklumat peribadi atau menipu wang daripada mangsa.
  • Phishing: E-mel atau mesej palsu yang menyamar sebagai entiti sah untuk memperdaya mangsa agar memberikan maklumat sensitif seperti kata laluan dan nombor kad kredit.
  • Pelaburan Palsu: Tawaran pelaburan dengan pulangan tinggi dalam tempoh yang singkat, tetapi akhirnya membawa kepada kerugian besar.
  • E-dagang Palsu: Laman web jualan yang menawarkan produk pada harga rendah tetapi tidak menghantar barangan selepas pembayaran dibuat.

 

Jadi, dalam era digital yang semakin berkembang, aktiviti penipuan dalam talian semakin berleluasa dan licik menjadi ancaman kepada masyarakat. Salah satu kes terbaharu yang melibatkan nama Universiti Putra Malaysia (UPM) menjadi peringatan penting kepada semua.

 

Kes Penipuan Menggunakan Nama UPM

 

Baru-baru ini, UPM ada mengeluarkan amaran kepada orang ramai mengenai beberapa platform dalam talian yang telah menyalahgunakan nama, imej, dan jenama UPM tanpa kebenaran bagi tujuan promosi jualan. Antara laman yang dikenal pasti adalah:

 

  1. Facebook: Anak Pokok Akademi Putra Malaysia (https://www.facebook.com/profile.php?id=61570948834198)
  2. Facebook: Nurseri Anak Pokok Universiti Putra Malaysia (https://www.facebook.com/profile.php?id=61571451811528)
  3. YouTube: Anak Pokok Akademi Putra Malaysia (https://www.youtube.com/@APAUPM)
  4. Laman Web:
    • https://www.ecogardenfarm.store/cherry
    • https://www.gardenrootshub.store/sirsak
    • https://www.bloomingoasis.store/durian

 

 

Modus operandi yang digunakan adalah dengan meyakinkan pengguna bahawa produk yang dijual mempunyai kaitan dengan UPM, sedangkan tiada pengesahan atau hubungan rasmi antara laman-laman ini dengan pihak universiti.

 

Kes ini sangat membimbangkan kerana melibatkan orang awam yang boleh terpedaya dan menyebabkan kerugian wang ringgit serta menjejaskan reputasi UPM.

 

Pusat Tanggungjawab (PTJ) Rasmi bagi Urusan Pembelian Produk Pertanian

 

Orang awam boleh mendapatkan produk-produk pertanian yang sah dan diiktiraf oleh UPM, yang dikeluarkan oleh Pusat Pertanian Putra atau Fakulti Pertanian. Layari laman web rasmi bagi mendapatkan maklumat produk serta perkhidmatan lain yang ditawarkan. Antaranya:

 

  1. Pusat Pertanian Putra (https://www.facebook.com/pusatpertanianputra)
  2. PutraBest Fakulti Pertanian (https://www.facebook.com/profile.php?id=100086505969181)
  3. PutraMart Pusat Pertanian Putra (https://www.facebook.com/pemasaran.tpu)

 

Dengan mendapatkan produk terus daripada PTJ yang sah, pengguna dapat mengelakkan risiko ditipu oleh pihak yang tidak bertanggungjawab serta memastikan bahawa produk yang diperoleh adalah berkualiti dan berasaskan penyelidikan yang sahih.

 

Langkah Berjaga-jaga untuk Mengelakkan Penipuan

 

Bagi melindungi diri daripada menjadi mangsa penipuan dalam talian, berikut adalah beberapa langkah yang boleh diambil:

 

  1. Semak Kesahihan Sumber: Sebelum berurusan dengan mana-mana pihak yang mengaku mempunyai kaitan dengan institusi atau syarikat terkenal, pastikan untuk menyemak laman web rasmi mereka.
  2. Jangan Mudah Percaya Tawaran Terlalu Menarik: Jika sesuatu tawaran kelihatan terlalu baik untuk menjadi kenyataan, kemungkinan besar ia adalah penipuan.
  3. Gunakan Kaedah Pembayaran Selamat: Elakkan membuat bayaran melalui pindahan bank secara terus, sebaliknya gunakan platform pembayaran yang mempunyai perlindungan pengguna.
  4. Laporkan Aktiviti Mencurigakan: Jika anda menemui laman yang mencurigakan, segera laporkan kepada pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
  5. Kukuhkan Keselamatan Digital: Pastikan akaun dalam talian anda dilindungi dengan kata laluan yang kukuh dan pengesahan dua faktor.
  6. Jangan Kongsi Maklumat Peribadi: Jangan dedahkan nombor telefon, alamat, atau butiran kewangan secara terbuka di media sosial atau laman tidak rasmi.

 

Penipuan dalam talian adalah satu ancaman teknologi kepada masyarakat yang boleh menimpa sesiapa sahaja. Kes yang melibatkan UPM adalah bukti bahawa tiada institusi yang terlepas daripada menjadi sasaran scammer.

 

Oleh itu, masyarakat perlu sentiasa berwaspada, bijak dan mengambil langkah pencegahan bagi melindungi diri daripada menjadi mangsa. Kesedaran dan tindakan pantas dapat membantu mengurangkan risiko penipuan serta memastikan keselamatan dalam dunia digital yang semakin kompleks. Jangan mudah terpedaya dan sentiasa berwaspada dalam setiap transaksi yang dilakukan dalam talian.

Date of Input: 14/02/2025 | Updated: 14/02/2025 | hairul_nizam

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BYCPDAG~