Article Summary
Projek Agro-Kampus Cetus Minat dan Kemahiran Baharu
Inisiatif ini selari dengan aspirasi UPM dalam memupuk kemahiran keusahawanan dan pertanian dalam kalangan mahasiswa, sejajar dengan prinsip pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning).
Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin
Foto Oleh: Saleha Haron
Bagi sekumpulan pelajar Kolej Sultan Alaeddin Suleiman Shah (KOSAS), Universiti Putra Malaysia (UPM), setiap pagi mereka bukan sahaja bergegas ke kuliah, malah turut melangkah ke reban ayam untuk memeriksa, menjaga dan mengutip hasil ternakan ayam penelur.
Bermula dengan hanya 22 ekor ayam penelur, kini projek inovatif yang diusahakan oleh pelajar KOSAS bukan sahaja menjana pendapatan kelab, malah memberi pendedahan langsung kepada dunia penternakan dan pertanian bandar. Lebih bermakna, ia turut menjadi medium pembelajaran nilai kehidupan seperti disiplin, keusahawanan dan semangat berdikari.
“Kami bukan daripada latar belakang pertanian, tetapi kami belajar daripada bawah. Penternakan ayam penelur dipilih kerana hasilnya cepat, dan tinja ayam boleh dijadikan baja untuk tanaman,” kata Pengarah Projek Gempur Tani, Nurul Wahida Mohd Jismani, pelajar Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM), UPM.
Menurutnya, mereka turut menghasilkan Effective Microorganism (EM) daripada buah-buahan yang ditapai, susu dan molases bagi mengawal bau serta meningkatkan kualiti baja tanaman.
“Kami merancang jualan telur ayam ini secara sistematik. Dalam tempoh dua hari, kami mampu mengutip sehingga 30 biji telur dan menjual sepapan telur pelbagai gred pada harga RM10,” jelasnya.
Reban Ayam Sebagai Terapi dan Guru Kehidupan
Bagi para pelajar ini, reban ayam bukan sekadar tempat bekerja, tetapi menjadi ruang terapi saat berdepan tekanan akademik.
“Ayam-ayam ini ibarat cikgu yang mengajar kami erti sabar, cara mengurus masa dan berfikir sebagai seorang usahawan,” kongsi salah seorang ahli projek.
Setiap petang, selain menguruskan ternakan, para pelajar turut menyelenggara tanaman seperti cili, bendi, jagung dan kangkung yang menjadi sebahagian komponen pertanian bandar dalam projek tersebut.
Ketua Felo KOSAS, Ahmad Alfan Hidayat B. Ahmad Khalili, berkata pihak kolej kini merancang untuk memperluaskan kerjasama dengan agensi luar bagi memulakan penternakan baka ayam kampung tempatan.
“Fokus kami bukan hanya menjana pendapatan, tetapi juga memberi pendedahan sebenar kepada pelajar agar celik ilmu ternakan. Jika suatu hari nanti tiada peluang pekerjaan dalam bidang asal mereka, sekurang-kurangnya mereka tahu cara menanam sayur, menternak ayam dan hidup berdikari,” ujarnya.
Projek Agro-Kampus Cetus Minat dan Kemahiran Baharu
Inisiatif ini selari dengan aspirasi UPM dalam memupuk kemahiran keusahawanan dan pertanian dalam kalangan mahasiswa, sejajar dengan prinsip pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning).
Projek Gempur Tani bukan sahaja memperkenalkan pelajar kepada realiti penternakan dan pertanian bandar, malah membentuk jati diri yang mampu menyumbang kepada keterjaminan makanan negara.
Date of Input: 30/07/2025 | Updated: 30/07/2025 | syamilakamarul
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA