Article Summary
Rambut yang sering dianggap tidak berguna sebenarnya kaya dengan nitrogen dan keratin, iaitu dua unsur penting dalam proses pengkomposan.
“Rambut juga mempunyai keupayaan semula jadi mengekalkan kelembapan tanah dan menghalau serangga perosak. Apabila dicampur dengan bahan organik lain seperti sisa dapur dan daun kering, ia menghasilkan kompos subur berkualiti tinggi
Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin
Foto Oleh: Noor Azreen Awang
Di Malaysia, lebih 39,000 tan sisa pepejal dihasilkan setiap hari, namun kadar kitar semula masih rendah, iaitu hanya sekitar dua hingga lima peratus. Salah satu sisa yang sering diabaikan ialah rambut manusia, yang lazimnya dibuang terus selepas dipotong.
Ramai tidak menyedari bahawa pada tahun 2020, Malaysia pernah mengeksport sebanyak 4.4 tan rambut terbuang ke luar negara, membuktikan bahawa bahan ini mempunyai nilai komersial dan potensi besar jika dimanfaatkan dengan bijak.
Menyedari potensi ini, Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (SBE UPM) bersama program CEO@SBE, yang diketuai oleh Y.M. Tengku Dato’ Dr. Hishammuddin Zaizi Tengku Bendahara Azman Shah Alhaj, melalui Pertubuhan Amal THZ, telah melancarkan inisiatif inovatif dikenali sebagai “Hair On Earth”. Kempen kelestarian ini mengumpulkan rambut terbuang dari salon dan individu seluruh negara untuk diproses sebagai kompos organik bagi pertanian lestari.
Menerusi kerjasama strategik yang disokong juga oleh Ocean Hero Conservation, Regenerative Agriculture Malaysia dan Mr Jagung Merah serta komuniti tempatan, kempen ini membuka ruang baharu dalam pengurusan sisa dan pembangunan komuniti.
Menurut Pensyarah Kanan SBE UPM, Dr. Farahdilah Ghazali, rambut yang sering dianggap tidak berguna sebenarnya kaya dengan nitrogen dan keratin, iaitu dua unsur penting dalam proses pengkomposan.
“Rambut juga mempunyai keupayaan semula jadi mengekalkan kelembapan tanah dan menghalau serangga perosak. Apabila dicampur dengan bahan organik lain seperti sisa dapur dan daun kering, ia menghasilkan kompos subur berkualiti tinggi,” katanya.
“Kompos ini kemudiannya akan digunakan untuk menyuburkan tanah di tapak-tapak pertanian bandar di bawah projek Harvest Hub: Inisiatif Pertanian Regeneratif.
Menurut beliau, kempen ini bukan sekadar usaha kitar semula atau penghasilan baja semula jadi. Ia juga sebahagian daripada platform sosial Harvest Hub, yang memberi tumpuan kepada pendidikan komuniti dalam bidang pertanian regeneratif, keselamatan makanan dan keusahawanan hijau.
“Melalui projek ini, komuniti akan diberi peluang mengikuti latihan secara praktikal dalam bidang pengkomposan, pertanian bandar dan pembangunan produk mesra alam. Mereka bukan sahaja memperoleh kemahiran baharu, malah turut diberi ruang untuk menjana pendapatan dan meningkatkan taraf hidup melalui pertanian moden yang lestari.
“Melalui inisiatif ini, kita menyampaikan mesej bahawa sisa seperti rambut bukan untuk dibuang, sebaliknya mampu memulihkan tanah dan menyokong usaha pemuliharaan alam sekitar,” ujar beliau.
Dalam pada itu kempen ini merupakan pendekatan yang menyeluruh dan inklusif serta sebuah inisiatif yang membuka mata masyarakat bahawa kelestarian bukan sahaja tentang menjaga alam, tetapi juga tentang membina komuniti yang berdaya tahan dan berpengetahuan.
Kempen ini merupakan contoh nyata bahawa inovasi dalam pengurusan sisa boleh membawa manfaat besar kepada alam sekitar dan manusia. Daripada sehelai rambut yang jatuh di lantai salon, kini ia mampu menyuburkan tanah, menyemai ilmu dan menumbuhkan harapan. Inilah bukti bahawa satu tindakan kecil, apabila diusahakan secara kolektif, boleh membawa perubahan besar kepada bumi dan masa depan kita bersama.
Kempen ini adalah selaras dengan Pelan Strategik UPM 2021-2025, Matlamat 5, iaitu Memperteguh Tadbir Urus Institusi, Kemampanan Kewangan dan Amalan Kelestarian Hijau, serta aspirasi universiti untuk menjadi peneraju kelestarian pada peringkat kebangsaan dan global.
Date of Input: 28/07/2025 | Updated: 28/07/2025 | syamilakamarul
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA