DILEMA SAMBUTAN PERTANIAN ORGANIK DI MALAYSIA | Universiti Putra Malaysia
» ARTICLE » DILEMA SAMBUTAN PERTANIAN ORGANIK DI MALAYSIA

DILEMA SAMBUTAN PERTANIAN ORGANIK DI MALAYSIA

**Artikel ini diterbitkan di dalam Bahasa Melayu dan tiada terjemahan di dalam Bahasa Inggeris**

Oleh Dr Nur Bahiah Mohamed Haris

Pertanian organik bukan lagi isu baharu di Malaysia, tetapi sambutan terhadapnya agak suram sejak akhir ini. Ianya pernah hangat diutarakan bermula pada sekitar tahun 2001, sehinggakan peruntukan khas telah disediakan oleh pihak kerajaan khusus kepada petani organik pada Rancangan Malaysia ke-8 (2001-2005).

Namun begitu, disebabkan tiada kesinambungan terhadap inisiatif ini, pertanian organik kelihatan semakin hambar pada setiap tahun. Hanya petani yang betul-betul berminat sahaja yang meneruskan pertanian organik. Malahan, di dalam Dasar Agromakanan Negara 2011-2020 (DAN) juga, isu organik ini tidak diberi penekanan, sebaliknya fokus diberikan kepada pensijilan MyGAP.

Ironinya, kesedaran masyarakat terhadap produk organik semakin meningkat setiap tahun. Jika dahulu, produk organik adalah sinonim untuk pesakit kanser sahaja. Akan tetapi, kini kesedaran pengguna terhadap faktor pemakanan serta gaya hidup sihat semakin menjadi perhatian.

Kesedaran ini secara tidak langsung telah mendorong pengguna bertukar pola pemakanan mereka, dengan beralih kepada sumber makanan yang berkualiti dan sihat seperti sayuran dan buah-buahan organik.

Selain itu, pengguna juga semakin sedar akan keburukan hasil pertanian yang dicemari atau dihasilkan dengan menggunakan racun dan baja kimia atau sintetik yang berlebihan.

Sehubungan dengan itu, produk pertanian organik atau bebas baja dan racun kimia semakin mendapat tempat dan permintaan dari penggemar organik serta pengguna setempat.

Usaha kerajaan bagi mempromosikan pertanian organik melalui akredetasi pensijilan sejak tahun 2003 sehingga kini (melalui persijilan MyOrganik) turut disambut baik oleh petani dan pengusaha ladang.

Mereka sanggup bertukar dari pertanian konvensional kepada pertanian yang bebas bahan kimia. Ini turut membuatkan fenomena kewujudan restoran makanan organik dan pengilang produk berasaskan sumber makanan organik meningkat mendadak seperti cendawan tumbuh selepas hujan.

Tidak ketinggalan, produk pertanian organik juga mendapat tempat di kalangan pengusaha dan peruncit dengan wujudnya kedai-kedai khas mahupun seksyen khas organik yang boleh didapati di pasaraya besar seperti Aeon Big dan Giant Big.

Bukan itu sahaja, kedai khas organik juga semakin banyak dibangunkan seperti BMS Organik, Justlife dan lain-lain lagi. Malahan, kini penjualan produk organik secara online juga kelihatan semakin bertambah.    

Realitinya, walaupun permintaan dari pengguna semakin meningkat, harga organik masih kekal tinggi berbanding konvensional. Masalah yang sering timbul sehingga kini adalah perbezaan harga produk organik yang boleh mencecah sehingga tiga kali ganda berbanding konvensional.

Ini mungkin disebabkan oleh kurangnya pengeluaran produk organik dari dalam Negara yang lebih fokus kepada pengeluaran secara konvensional dimana hasilnya lebih cepat dan banyak.

Ini secara tidak langsung menyebabkan ada pengeluar dan pengusaha mengambil kesempatan dengan memalsukan logo sijil organik semata-mata untuk mendapatkan harga premium. Isu pemantauan dari segi pensijilan juga sering dipersoalkan sehinggakan banyak produk organik disalahguna oleh pengusaha bukan organik.

Permintaan yang semakin meningkat dari pengguna juga menyebabkan ia tidak dapat dipenuhi diperingkat nasional, dan ini menyebabkan Malaysia terpaksa mengimport produk organik dari luar negara seperti Australia dan New Zealand.

Ini sekaligus menyumbang kepada peningkatan harga produk organik dan kesannya, golongan pengguna yang berkemampuan lebih cenderung untuk mendapatkan produk organik berbanding masyarakat marhein. 

Persoalannya, bagaimanakah untuk menstabilkan harga organik agar semua masyarakat boleh menikmati produk organik? Apakah langkah-langkah yang boleh diambil untuk menurunkan harga supaya rakyat marhaen yang mula sedar potensi khasiat organik berupaya membeli? Adakah dengan meningkatkan penghasilan organik diperingkat nasional boleh menurunkan harga produk organik?

Salah satu cara yang mungkin boleh diambilkira adalah dengan meningkatkan pengeluaran organik diperingkat nasional. Apabila pengeluaran memenuhi atau melebihi permintaan, secara tidak langsung harga barangan dapat dikawal. Ini mungkin boleh diaplikasi kepada produk organik dimana kerajaan boleh menggalakkan petani untuk beralih kepada pertanian organik.

Persoalan lain yang mungkin timbul, bagaimanakah untuk menggalakkan petani berubah kepada pertanian organik? Apakah faktor-faktor yang mempengaruhi petani Malaysia dalam menjalankan pertanian secara organik? Kajian penyelidik dari Fakulti Pertanian, UPM (pada tahun 2019) telah mendapati bahawa antara faktor besar yang menyumbang kepada pengusaha Malaysia menjalankan ladang organik adalah kesediaan yang tinggi untuk menjaga kualiti makanan dan kesihatan serta minat yang mendalam terhadap keselamatan makanan yang diambil.

Sehubungan dengan itu, yang pertama, kesedaran dari pihak petani haruslah ditingkatkan agar mereka sedar akan bahaya penggunaan racun yang berlebihan terhadap kesihatan tubuh badan, tidak kira samada kepada petani itu sendiri mahupun kepada keluarga dan masyarakat.

Data terkini daripada Jabatan Pertanian Malaysia menunjukkan jumlah ladang yang telah diakredetasi dengan pensijilan MyOrganik adalah sebanyak 230 ladang sehingga pertengahan tahun 2019. Ini sekaligus menggambarkan potensi besar untuk menarik lebih ramai petani untuk mengusahakan ladang organik. 

Kedua, kerajaan mungkin boleh mengembalikan insentif yang telah disediakan sebelum ini kepada petani yang baharu atau yang akan mengusahakan organik agar kelangsungan industri organik ini dapat diteruskan.

Jika sebelum ini, insentif dalam bentuk infrastruktur diberikan kepada petani organik, mungkin kali ini boleh juga diteruskan atau diberikan dalam bentuk subsidi, keringanan cukai tanah (TOL) dan lain-lain lagi.

Pemberian insentif ini mampu mengurangkan kos pengeluaran pengusaha dan seterusnya mengurangkan harga produk organik di pasaran. Kerajaan juga harus memainkan peranan dengan mempergiatkan pemantauan terhadap produk yang telah diakreditasikan.

Ketiga, pemantuan seharusnya dijalankan pada kawalan harga dan produk pertanian yang menggunakan logo MyOrganik. Kawalan berterusan di segenap peringkat (ladang dan pasaran) dapat menghilangkan keraguan orang ramai terhadap produk hasil pertanian organik bagi mengelak eksploitasi dan penyalahgunaan logo.

Selain itu, usaha lain yang boleh dijalankan bagi mengurangkan impak harga produk organik ke atas pengguna adalah pengguna itu sendiri cuba untuk bercucuk tanam.

Pada masa kini, terdapat banyak inisiatif yang dijalankan oleh komuniti dalam agenda mendidik pengguna untuk menghasilkan tanaman makanan sendiri mahupun penghasilan baja dan racun organik sendiri.

Ini adalah salah satu langkah bijak yang patut diambil oleh setiap pengguna bagi memastikan makanan yang diambil adalah dijamin bebas racun dan berkualiti.

Apa yang dimakan dapat mencerminkan kesihatan seseorang. Oleh yang demikian, kepentingan menjaga kesihatan haruslah bermula dari sumber yang dimakan. Ini bukan sahaja dapat meningkatkan kesihatan individu, malahan dapat melahirkan masyarakat Malaysia yang sihat, cergas dan bebas penyakit.

Dr Nur Bahiah Mohamed Haris

Jabatan Teknologi Pertanian

Fakulti Pertanian

Date of Input: 22/10/2019 | Updated: 22/10/2019 | hairul_nizam

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BXDdEAW~