Doktor Veterinar Ladang Sebuah Tugasan Yang Agak Sukar, Kongsi Ts. Dr. Azrolharith | Universiti Putra Malaysia
» ARTICLE » Doktor veterinar ladang sebuah tugasan yang agak sukar, kongsi Ts. Dr. Azrolharith

Doktor veterinar ladang sebuah tugasan yang agak sukar, kongsi Ts. Dr. Azrolharith

Article Summary
Pegawai Veterinar Ladang 16, Pusat Pertanian Putra UPM, Ts. Dr. Muhammad Azrolharith Rashid rezeki tidak pernah salah alamat apabila beliau berjaya menjadi seorang doktor veterinar dan telah berkhidmat di UPM sejak tahun 2015.


Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin
Foto Oleh: Mozaid Idris
 
Bukan mudah untuk beliau menamatkan pengajian dalam jurusan Doktor Perubatan veterinar di Universiti Putra Malaysia(UPM).

Namun dengan keazaman tinggi, beliau nekad untuk belajar bersungguh-sungguh dalam pengajian bagi melayakkan dirinya menjadi seorang doktor veterinar yang kini bekerja di ladang haiwan ternakan

Menurut Pegawai Veterinar Ladang 16, Pusat Pertanian Putra UPM, Ts. Dr. Muhammad Azrolharith Rashid rezeki tidak pernah salah alamat apabila beliau berjaya menjadi seorang doktor veterinar dan telah berkhidmat di UPM sejak tahun 2015. Beliau kini bertanggungjawab dalam pengurusan haiwan ternakan di Ladang 16 seperti lembu pedaging, lembu tenusu, rusa dan sebagainya.

Tugas Pegawai Veterinar di ladang

Beliau berkata, tugas seorang pegawai veterinar di ladang ternakan ini bukannya mudah kerana beliau mempunyai tanggungjawab begitu besar iaitu menguruskan ladang, merawat haiwan, membantu pengajaran amali.

Minat beliau dalam penggunaan teknologi telah mencetuskan inovasi dalam pelaksananan Internet of Things (IoT) dalam bidang ternakan. Beliau menggunakan teknologi dron untuk membuat tinjauan serta mengenalpasti lokasi haiwan ternakan di ladang yang seluas 50 hektar ini. Penggunaan teknologi-teknologi ini juga telah membantu beliau untuk mendapat pengiktirafan profesional oleh Malaysian Board of Technologies (MBOT) pada tahun 2022.

“Kini saya dan petugas ladang cuba mengaplikasikan “drone aerial survey” untuk mengenalpasti lokasi-lokasi haiwan ternakan yang selalunya berkumpul, ini penting untuk kami mengetahui pola pergerakan dan tingkah laku haiwan kerana tugas kami di ladang perlu menyediakan haiwan ternakan setiap minggu bagi membantu dalam kelas pengajaran dan penyelidikan”.  

“Secara tidak langsung penggunaan teknologi sebegini memudahkan dan menjimatkan masa penternak haiwan mengesan keberadaan haiwan mereka dan memantau ternakan mereka di padang ragut”.

Katanya, minatnya menggunakan teknologi IoT ini dapat diaplikasikan dalam bidang pekerjaan yang dipoloporinya. Terdapat juga teknologi-teknologi lain yang sedang cuba dipraktikkan oleh beliau bersama penyelidik bagi membantu memudahkan tugasan harian terutama dalam pengurusan bidang ternakan.

Tambah beliau, antara aspek yang penting dalam bekerja di ladang ternakan ialah kerjasama dengan semua petugas ladang yang lain demi menjaga keselamatan haiwan ternakan disamping mampu membekalkan haiwan ternakan yang sihat bagi kelas pengajaran dan penyelidikan, serta dapat menghasilkan produk yang berkualiti.

“Selain pengurus ladang, saya juga membantu pengajaran amali ladang kepada pelajar-pelajar Fakulti Perubatan Veterinar, Fakulti Pertanian, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, Asasi Sains Pertanian serta beberapa fakulti lain untuk belajar berkenaan pengurusan haiwan ternakan.

 

 

Cabarannya yang ramai tidak tahu

Walaupun dilihat doktor veterinar yang bekerja dalam ladang ruminan ini agak sukar, ia tidak pernah menjatuhkan semangat beliau yang merupakan seorang yang mencintai haiwan.

Beliau melakukan tugasan ini kerana minat mengajar serta demi membantu mendidik pelajar-pelajar untuk berjaya dalam bidang pengajian mereka.

Dr. Azrolharith yang mempunyai kepakaran dalam menguruskan haiwan di ladang ruminan UPM, beliau menyatakan sebagai ahli veterinar, beliau perlu memantau haiwan ternakan dan perlu bersedia 24 jam bagi merawat dan menjaga kebajikan mereka,  bagi mengindari penyakit-penyakit yang akan menyebabkan haiwan ternakan tidak sihat dan boleh menyebabkan kematian.

“Paling sukar untuk dibuat semasa menguruskan haiwan ternakan ini ialah di mana haiwan ternakan juga memerlukan diagnosis penyakit yang terperinci yang kadang kala memerlukan pengesahan di makmal, ini akan mengambil masa untuk proses diverifikasikan. Walau bagaimanapun, sesetengah kondisi atau penyakit akan diberikan rawatan berdasarkan simptom terlebih dahulu sementara menunggu keputusan diagnosis makmal bagi mengelakkan gejala yang dialami semakin teruk.

“Selain itu, dalam mengawal penyakit berjangkit samada zoonosis atau tidak zoonosis, seperti penyakit Brucellosis, Lumpy Skin Disease (LSD), penyakit kuku dan mulut ternakan (FMD), serta beberapa penyakit berjangkit lain perincian perlu dilakukan dengan kadar segera bagi mengawal penyakit berjangkit daripada menular seperti pemantauan kesihatan haiwan yang lebih kerap dan teliti, program vaksinasi, serta meningkatkan biosekuriti ladang seperti mengawal keluar masuk pergerakan haiwan dan manusia.

 “Apabila haiwan yang dirawat tidak dapat diselamatkan ianya kadang kala boleh menganggu emosi seorang doktor veterinar.

“Sebagai doktor veterinar yang berkecimpung dalam bidang penternakan, saya sangat memahami perasaan pemilik haiwan kerana kos merawat haiwan bukannya murah dan mereka terpaksa menanggung kerugian yang sangat besar jika berlaku kematian, kerana itulah mencegah lebih baik dari merawat, laksanakanlah amalan kesihatan haiwan gerompok seperti program vaksinasi, nyahcacing dan sebagainya yang dapat membantu mengurangkan risiko jangkitan penyakit”,katanya.

 

Walau bagaimanapun sebagai doktor veterinar di ladang 16 UPM, peranan pentingnya adalah untuk memberi latihan dan tunjuk ajar dalam bidang ternakan dan pengeluaran makanan ternakan di samping pengeluaran hasil ladang yang berkualiti.

Sebagai doktor veterinar tunggal di ladang ini, beliau turut membantu Pusat Pertanian Putra UPM menjadikan ladang 16 sebagai ladang contoh kepada komuniti seperti pensijilan MyGAP dan pada masa sama turut memberi khidmat nasihat kepakaran kepada para penternak dan usahawan baru dalam bidang ini. - UPM

 

Date of Input: 03/07/2023 | Updated: 03/07/2023 | syamilakamarul

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BXEcNAP~