Hari Kesihatan Sedunia 2023 Tema ‘Health For All”, Deklarasi Tegas Keperluan Terhadap Kesihatan | Universiti Putra Malaysia
» ARTICLE » Hari Kesihatan Sedunia 2023 tema ‘Health for All”, deklarasi tegas keperluan terhadap kesihatan

Hari Kesihatan Sedunia 2023 tema ‘Health for All”, deklarasi tegas keperluan terhadap kesihatan

Article Summary
Hari Kesihatan Sedunia iaitu 7 April yang dilancarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 1948 bagi memberi peluang kepada global untuk memfokuskan isu-isu kesihatan awam yang penting serta mempengaruhi masyarakat antarabangsa.


Oleh: Noor Eszereen Juferi

Hari Kesihatan Sedunia iaitu 7 April yang dilancarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 1948 bagi memberi peluang kepada global untuk memfokuskan isu-isu kesihatan awam yang penting serta mempengaruhi masyarakat antarabangsa.

Tarikh ini memberikan fokus memperbaharui dan meningkatkan kesedaran global terhadap isu kesihatan yang menjadi keutamaan serta perhatian majoriti masyarakat global secara langsung memberi peluang kepada semua pemegang taruh yang terlibat dalam advokasi kesihatan.

Ini bertujuan untuk menumpukan usaha-usaha yang berkenaan terhadap populasi berisiko seterusnya dapat memastikan matlamat kesihatan untuk semua dapat direalisasikan.

Membawa tema ‘Health for All” (Kesihatan Untuk Semua), tema ini dilihat satu deklarasi tegas keperluan terhadap kesihatan dari semua negara bagi melindungi kesihatan global.

Menurut Pakar Kesihatan Awam, Prof. Madya Dr. Malina Osman berkata, tema ‘Kesihatan Untuk Semua’ ini sebenarnya merupakan satu dari deklarasi sempena persidangan Antarabangsa Kesihatan Primer di Almaty 1978, yang di bawah Republik Soviet ketika itu

“Deklarasi yang lebih dikenali sebagai Deklarasi Alma Ata itu menjadi pelopor terhadap fokus keutamaan kesihatan primer, seterusnya menjadi antara prinsip asas dalam pendekatan WHO terhadap isu-isu kesihatan global,” katanya.

Beliau turut yakin melihat kepada prestasi sistem perkhidmatan kesihatan negara dan juga perkhidmatan klinikal yang ditawarkan di sektor swasta, Malaysia berpotensi menjadi hub rawatan utama pada masa depan.

“Secara umum, kita mempunyai sistem serta prasarana yang sangat baik dan setanding dengan kualiti di peringkat global. Pada hari ini negara mempunyai data mega yang sangat banyak dan pelbagai teknologi hibrid serta dalam talian termasuk aplikasi perubatan yang boleh dimanfaatkan dari masa ke semasa.

“Namun tambah baik pengurusan sumber perlu dilaksanakan bagi mengelakkan potensi ketirisan sumber awam serta isu-isu semasa berkaitan dengan sistem perjawatan dan juga berkaitan dengan pengurusan sistem memerlukan pendekatan kontemporari bagi memastikan perkhidmatan kesihatan yang ditawarkan kalis dari sebarang impak atau kesan akibat perubahan dasar pada sesuatu masa,” katanya.

Beliau yang juga pensyarah Jabatan Kesihatan Komuniti, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, harapannya melalui sambutan tersebut untuk masyarakat negara ini mengambil cakna kepentingan menjaga kesihatan.

“Tanggungjawab terhadap kesihatan bukanlah hanya peranan pihak hospital atau Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) namun ianya adalah usaha menyeluruh semua peringkat termasuk melibatkan seisi masyarakat dan juga kolaborasi antara agensi yang terlibat.

“Setiap dari kita mempunyai peranan bagi memastikan dapat mencapai akses perkhidmatan serta menggunakan sebaik-baiknya perkhidmatan yang ditawarkan dan dalam masa yang sama memperhebatkan usaha-usaha promosi kesihatan,” katanya. - UPM

Date of Input: 12/04/2023 | Updated: 12/04/2023 | hairul_nizam

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BXEbVAX~