Hati-hati! Obesiti Risiko Seseorang Hidap Kanser | Universiti Putra Malaysia
» ARTICLE » Hati-hati! Obesiti Risiko Seseorang Hidap Kanser

Hati-hati! Obesiti Risiko Seseorang Hidap Kanser

Article Summary
Tinjauaan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019 mendapati, 50.1 peratus golongan dewasa di Malaysia berlebihan berat badan atau obesiti. Ia bermakna, seorang daripada dua dewasa di negara ini dikategorikan sebagai mempunyai berat berlebihan atau obes.


Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin

Foto Oleh: Noor Azreen Awang

Tinjauaan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019 mendapati, 50.1 peratus golongan dewasa di Malaysia berlebihan berat badan atau obesiti. Ia bermakna, seorang daripada dua dewasa di negara ini dikategorikan sebagai mempunyai berat berlebihan atau obes.

Dalam kalangan kanak-kanak berusia antara lima tahun hingga 17 tahun pula, sebanyak 29.8 peratus didapati berlebihan berat badan dan obes. Pada 2019 juga, Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) menganggarkan, penyakit berkaitan obesiti akan menyebabkan kematian lebih 90 juta penduduk di negara OECD dalam jangka masa 30 tahun akan datang, dengan jangka hayat hidup menyusut hampir tiga tahun.

Adakah berat badan berlebihan atau obesiti meningkatkan risiko Kanser?

Berat badan berlebihan atau obesiti akan meningkatkan risiko kepada seseorang menghidap kanser menurut Ketua Laboratori Penyelidikan Kanser UPM-MAKNA (CANRES), Profesor Madya Dr. Chia Suet Lin.

Beliau berkata rata-rata rakyat Malaysia beranggapan bahawa berat badan berlebihan atau obesiti akan menyebabkan seseorang itu menghidap penyakit kardiovaskular seperti penyakit jantung, strok, diabetes, dan lain-lain.

Kanser adalah penyakit keturunan?

Individu yang mempunyai berat badan dengan indeks jisim tubuh (BMI) melebihi 40 atau obes lebih cenderung mendapat kanser berbanding berat badan normal. Tetapi rata-rata masyarakat memandang enteng masalah berat badan berlebihan dan obes.

Bagi mereka yang menghidap kanser selalunya dikaitkan dengan penuaan, genetik, merokok/vaping, radiasi, bahan kimia, dan jangkitan. Walaubagaimanapun berat badan berlebihan atau obesiti penyebab 13 jenis kanser.

Mengapa berat badan berlebihan dan obes punca kanser?

Kanser terbabit ialah payudara, kolorektal, rahim, darah, buah pinggang, kepala dan leher, esofagus, pankreas, endometrium, prostat, pundi hempedu dan tiroid kerana perubahan hormon disebabkan peningkatan tahap insulin, faktor pertumbuhan pertumbuhan insulin dan hormon seks yang meningkatkan risiko kanser.

Selain itu, keradangan berpanjangan dalam badan, perubahan metabolisme seperti pengambilan glukosa dan lipid yang berlebihan akan menyebabkan berat badan naik dengan sangat mendadak dan meningkatkan risiko mendapat kanser.

Tambah beliau, sel lemak yang berlebihan akan meningkatkan keradangan serta mengubah hormon badan yang akan meningkatkan keradangan dalam imunisasi badan seseorang. Ia juga akan menyebabkan sel dalam badan seseorang membahagi dan membesar serta meningkatkan sel kanser terus membesar hingga menyebabkan tumor.

Sebuah kajian yang dilakukan oleh American Cancer Society menunjukkan, 90% penghidap kanser lelaki dan wanita mengalami masalah berat badan berlebihan atau obes dalam lingkungan usia 50 tahun dan keatas.

“Selepas menopaus wanita cenderung menghidap kanser payudara yang khusus kerana masalah obesiti. Manakala bagi lelaki pula kanser kolorektral adalah kanser yang paling umum bagi lelaki yang mengalami masalah obes,” katanya.

Kanser adalah penyakit kedua yang membunuh manusia. Hampir 10 juta orang telah meninggal setiap tahun kerana penyakit ini. Malangnya, lebih daripada 60% pesakit kanser telah didiagnos pada tahap ketiga dan keempat di Malaysia.

Kanser adalah penyakit kedua yang membunuh manusia. Hampir 10 juta orang telah meninggal setiap tahun kerana penyakit ini. Malangnya, lebih daripada 60% pesakit kanser telah didiagnos pada tahap ketiga dan keempat di Malaysia.

Sementara itu, beliau menyarankan agar setiap sajian yang diambil harus pelbagai dan memenuhi diet seimbang dalam kuantiti sederhana menghalang daripada penyakit kronik dan masalah lain.

"Kita tidak menghalang golongan yang sihat untuk menikmati juadah tetapi perlu bijak semasa memilih jenis dan kuantiti makanan.

“Jangan ambil sambil lewa kerana ia boleh memberi kesan buruk kepada diri sendiri,” katanya.

Hari Kanser Sedunia disambut di seluruh dunia pada 4 Februari setiap tahun untuk meningkatkan kesedaran serta mengajak orang ramai mengambil bahagian dalam usaha mencegah dan membendung penyakit kanser yang kian meningkat.

Di Malaysia, tiga jenis kanser yang paling kerap berlaku dalam kalangan lelaki adalah kanser kolorektal atau usus besar (16.9%), kanser paru-paru (14.8%) dan kanser prostat (8.1%). Dalam kalangan wanita pula adalah kanser payudara (33.9%) dikuti dengan kanser kolorektal (10.7%) dan kanser serviks (6.2%). -UPM

Date of Input: 31/05/2023 | Updated: 31/05/2023 | syamilakamarul

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BXEcLAF~