Membina Asas Pendidikan Anak, Guru Perlu Ada ‘jiwa’ Pendidik | Universiti Putra Malaysia 99 spel
» ARTICLE » Membina asas pendidikan anak, guru perlu ada ‘jiwa’ pendidik

Membina asas pendidikan anak, guru perlu ada ‘jiwa’ pendidik

Article Summary
Dalam usaha memperkukuh asas pendidikan negara, guru bukan sahaja perlu menguasai kandungan pelajaran, malah perlu memiliki ‘jiwa’ pendidik yang mampu membentuk cara murid berfikir, belajar dan menyesuaikan diri dengan cabaran masa depan.


Oleh: Noor Eszereen Juferi

 

 

Dalam usaha memperkukuh asas pendidikan negara, guru bukan sahaja perlu menguasai kandungan pelajaran, malah perlu memiliki ‘jiwa’ pendidik yang mampu membentuk cara murid berfikir, belajar dan menyesuaikan diri dengan cabaran masa depan.

 

Pensyarah Kanan, Jabatan Asas Pendidikan, Fakulti Pengajian Pendidikan (FPP), UPM, Prof. Madya Dr. Siti Salina Mustakim, berkata sistem pendidikan hari ini terlalu memberi tumpuan kepada apa yang murid tahu berbanding bagaimana mereka belajar.

 

“Di peringkat awal persekolahan kemahiran paling penting bukan sekadar membaca, menulis atau mengira tetapi kemahiran berfikir serta keupayaan mengawal pembelajaran sendiri atau self-regulated learning.

 

“Apabila murid dibiasakan berfikir, menyoal dan menganalisis sejak awal, mereka lebih bersedia apabila melangkah ke universiti yang menuntut pembelajaran kendiri,” katanya.

 

Tambah beliau, nilai seperti ketahanan diri dan rasa ingin tahu juga perlu dipupuk dari awal kerana kedua-duanya menentukan keupayaan pelajar untuk bertahan dalam sistem pendidikan yang semakin mencabar.

 

“Asas pendidikan tidak hanya bergantung kepada silibus tetapi lebih kepada pengalaman pembelajaran yang direka dalam bilik darjah. Jika murid didedahkan dengan pendekatan berpusatkan guru, mereka cenderung menjadi pasif dan hanya menunggu arahan,” katanya

 

Pendekatan seperti pembelajaran berasaskan masalah dan inkuiri mampu melahirkan pelajar yang lebih aktif, berani bertanya dan mampu belajar secara berdikari.

 

Prof. Madya Dr. Siti Salina turut menyentuh realiti di Malaysia yang masih menunjukkan kecenderungan kepada budaya peperiksaan di mana murid dilatih menjawab soalan tetapi kurang diberi ruang untuk berfikir secara mendalam.

 

“Masih banyak bilik darjah berorientasikan latihan latih tubi dan dalam keadaan ini ruang untuk pemikiran kritis agak terhad,” katanya.

 

 

Namun, perubahan mula dilihat melalui pelaksanaan pendekatan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), walaupun pelaksanaannya masih tidak konsisten.

 

Dalam konteks pendidikan masa kini yang dipengaruhi teknologi, Prof. Madya Dr. Siti Salina menegaskan teknologi bukan penyelesaian utama, sebaliknya cara penggunaannya yang menentukan keberkesanan pembelajaran.

 

“Isunya bukan akses kepada teknologi, tetapi sejauh mana ia digunakan untuk membina pemikiran dan kefahaman murid,” katanya.

 

Beliau memberi contoh pengalaman semasa pandemik COVID-19, di mana penggunaan teknologi banyak tertumpu kepada memindahkan bahan pengajaran ke bentuk digital tanpa perubahan pendekatan pedagogi.

 

Akibatnya, walaupun teknologi digunakan, cara murid belajar masih tidak banyak berubah dan mereka kekal sebagai penerima maklumat secara pasif.

 

Mengulas cabaran utama pendidikan asas, Prof. Madya Dr. Siti Salina berkata, isu sebenar bukan terletak pada murid tetapi pada sistem dan minda masyarakat.

 

“Terdapat ketidakseimbangan antara aspirasi untuk melahirkan pelajar berkemahiran abad ke-21 dengan realiti sistem yang masih menekankan pencapaian peperiksaan. Guru juga sering berdepan dilema antara membina kefahaman murid dan memenuhi tuntutan untuk menghabiskan silibus,” katanya.

 

Selain itu, jurang antara dasar dan pelaksanaan turut menjadi cabaran, apabila dasar yang baik di peringkat nasional tidak sentiasa diterjemahkan dengan berkesan di bilik darjah.

 

Dalam masa yang sama, beliau menekankan peranan ibu bapa yang sangat kritikal dalam membina asas pendidikan anak.

 

Prof. Madya Dr. Siti Salina berkata, ibu bapa perlu beralih daripada pendekatan berorientasikan keputusan kepada pendekatan yang melihat pendidikan sebagai proses pembangunan insan.

 

 

“Sokongan bermakna bukan sekadar memastikan kerja sekolah siap, tetapi menyediakan persekitaran yang menggalakkan anak berfikir, bertanya dan membuat keputusan,” katanya.

 

Beliau turut membangkitkan fenomena ibu bapa yang terlalu menekankan tuisyen dan pencapaian akademik, sehingga mengurangkan ruang anak untuk meneroka dan belajar daripada kesilapan.

 

“Pendekatan yang lebih holistik dan berfokus kepada pembinaan pemikiran mampu melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang di atas kertas tetapi juga berdaya tahan dan mampu menghadapi cabaran masa depan,” katanya.

 

Beliau menyeru semua pihak termasuk guru, ibu bapa dan pembuat dasar untuk beralih daripada membina pelajar yang pandai menjawab kepada membina pelajar yang benar-benar mampu berfikir.

 

“Jika asas ini tidak dibina sejak awal kita bukan sahaja gagal menyediakan pelajar untuk universiti tetapi juga untuk kehidupan,” katanya.

Date of Input: 24/04/2026 | Updated: 24/04/2026 | hairul_nizam

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BZFBJA5~