Pemansuhan AUKU Peluang Mentakrif Semula Universiti Masa Hadapan | Universiti Putra Malaysia 99 spel
» ARTICLE » Pemansuhan AUKU peluang mentakrif semula universiti masa hadapan

Pemansuhan AUKU peluang mentakrif semula universiti masa hadapan

Article Summary
Pengumuman mengenai usaha menggantikan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Akta 30) atau AUKU perlu dilihat sebagai satu langkah lebih besar dalam mentakrifkan semula bentuk dan hala tuju universiti yang ingin dibina untuk masa hadapan.


 

Oleh: Noor Eszereen Juferi

 

Pengumuman mengenai usaha menggantikan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Akta 30) atau AUKU perlu dilihat sebagai satu langkah lebih besar dalam mentakrifkan semula bentuk dan hala tuju universiti yang ingin dibina untuk masa hadapan.

 

Pensyarah Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia (FEM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Ratna Roshida Ab. Razak, berkata, reformasi pendidikan tinggi tidak seharusnya terhenti pada soal pemansuhan atau penggantian AUKU semata-mata, sebaliknya perlu membuka ruang kepada perbincangan lebih menyeluruh mengenai autonomi universiti, kebebasan akademik serta penglibatan mahasiswa.

 

“ Pengumuman mengenai usaha menggantikan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Akta 30) atau AUKU bukan sekadar menandakan berakhirnya sebuah kerangka perundangan, tetapi membuka persoalan yang lebih besar: apakah bentuk universiti yang ingin kita bina untuk Malaysia pada masa hadapan? Ini sebenarnya satu peluang untuk kita mentakrifkan semula apakah universiti yang kita mahu bina untuk Malaysia pada masa hadapan,” katanya.

 

Tambah beliau, autonomi merupakan antara perkara utama yang perlu diberikan perhatian dalam pembaharuan pendidikan tinggi kerana universiti perlu mempunyai ruang untuk membuat keputusan akademik dan institusi secara lebih bebas serta responsif.

 

“Autonomi perlu bergerak seiring dengan akauntabiliti bagi memastikan kebebasan yang diberikan kepada institusi digunakan secara bertanggungjawab. Universiti perlu mempunyai ruang untuk membuat keputusan akademik dan institusi dengan lebih bebas dan responsif. Tetapi autonomi mesti datang bersama akauntabiliti,” katanya.

 

Beliau turut menegaskan bahawa kebebasan akademik tidak seharusnya ditafsirkan sebagai kebebasan tanpa batas, sebaliknya merupakan ruang untuk warga akademik bertanya, mengkritik, menyelidik dan mencari kebenaran berasaskan ilmu, bukti dan etika.

 

”Persoalannya bukan lagi sekadar apakah universiti boleh diberikan lebih banyak kebebasan, tetapi sama ada kita bersedia mempercayai universiti untuk menggunakan kebebasan itu dengan ilmu, integriti dan tanggungjawab,” katanya.

 

Prof. Madya Dr. Ratna Roshida berkata, suara mahasiswa perlu diberikan perhatian dalam reformasi pendidikan tinggi kerana mahasiswa bukan sekadar penerima pendidikan, tetapi merupakan generasi yang sedang dipersiapkan untuk menjadi pemimpin dan warganegara.

 

“Mahasiswa bukan sekadar pelanggan atau penerima pendidikan mereka adalah generasi yang sedang kita persiapkan untuk menjadi pemimpin dan warga negara. Sebab itu ruang untuk mereka berfikir, berbeza pandangan dan terlibat dalam proses demokrasi adalah sebahagian daripada pendidikan itu sendiri,” katanya.

 

Beliau berkata, cabaran terbesar dalam proses reformasi adalah memastikan perubahan perundangan turut disertai perubahan budaya dan cara fikir dalam mengurus institusi pendidikan tinggi.

 

“Jangan sampai kita menggantikan AUKU dengan akta baharu tetapi masih menggunakan mentaliti lama. Kalau undang-undang berubah tetapi budaya kawalan tidak berubah, kita belum benar-benar melakukan reformasi,” katanya.

 

Prof. Madya Dr. Ratna Roshida berkata, beliau melihat pemansuhan AUKU bukan sebagai titik akhir, sebaliknya sebagai permulaan kepada usaha membentuk ekosistem pendidikan tinggi yang berasaskan kepercayaan, tanggungjawab dan integriti.

 

“Pemansuhan AUKU bukanlah destination. Ia adalah beginning. Kita perlu bergerak daripada budaya control kepada budaya trust, tetapi trust yang disertai responsibility. Daripada compliance kepada integrity dan daripada universiti yang hanya ditadbir kepada universiti yang benar-benar mempunyai autonomi, suara dan tanggungjawab,” katanya.

 

Beliau berkata, matlamat akhir reformasi bukan sekadar mewujudkan universiti yang lebih bebas, tetapi membina institusi yang matang, berani berfikir, berasaskan ilmu dan mampu melaksanakan tanggungjawabnya kepada masyarakat.

 

“Akhirnya, kita tidak mahu hanya membina universiti yang lebih bebas. Kita mahu membina universiti yang lebih matang, bebas berfikir, berani mencari kebenaran dan bertanggungjawab kepada masyarakat,” katanya.

 

Tambah beliau, reformasi pendidikan tinggi pada hakikatnya melibatkan perubahan terhadap cara masyarakat dan pembuat dasar melihat institusi universiti.

 

“Reformasi pendidikan tinggi bukan hanya tentang mengubah akta; ia tentang mengubah cara kita melihat universiti, daripada institusi yang perlu dikawal kepada institusi yang perlu dipercayai, diperkasa dan dipertanggungjawabkan,” katanya.

 

Sementara itu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah mengambil kira keperluan memperbaharui kerangka perundangan pendidikan tinggi negara dengan merangka sebuah akta baharu yang lebih komprehensif bagi menggantikan AUKU.

 

Usaha tersebut digariskan dalam Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 yang dilancarkan pada Januari 2026 menerusi agenda pembentukan One Higher Education Act.

 

Langkah berkenaan dilihat sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi negara agar lebih responsif terhadap perubahan semasa, di samping memberi ruang kepada institusi pengajian tinggi untuk berkembang dengan tahap autonomi, akauntabiliti dan tadbir urus yang lebih baik.

 

Date of Input: 18/08/2026 | Updated: 18/08/2026 | eszereen

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BZITHAh~