Penyeragaman Mengekang Kerencaman Universiti Bina Kekuatan Dalam Bidang Pendidikan Negara, - Naib Canselor UPM | Universiti Putra Malaysia
» ARTICLE » "Penyeragaman mengekang kerencaman universiti bina kekuatan dalam bidang pendidikan negara," - Naib Canselor UPM

"Penyeragaman mengekang kerencaman universiti bina kekuatan dalam bidang pendidikan negara," - Naib Canselor UPM

Article Summary
Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini telah merasmikan Wacana Strategi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia (PWTC), Kuala Lumpur. YAB Perdana Menteri menyarankan agar institusi pendidikan tinggi (IPT) diberi ruang dan kelonggaran untuk mewujudkan idea-idea baharu dalam bidang pendidikan negara.


Oleh: Sharifah Hannah Adibah Wan Serail
Pelajar Bacelor Sastera (Bahasa dan Linguistik Melayu) dengan Kepujian
Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi
Universiti Putra Malaysia

 

 

Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini telah merasmikan Wacana Strategi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia (PWTC), Kuala Lumpur. YAB Perdana Menteri menyarankan agar institusi pendidikan tinggi (IPT) diberi ruang dan kelonggaran untuk mewujudkan idea-idea baharu dalam bidang pendidikan negara.

 

Mengulas kenyataan tersebut, Naib Canselor, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dato’ Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah menyatakan bahawa IPT sebagai hub penyelidikan dan penerokaan ilmu sebenarnya secara hakiki telahpun menjalankan peranan dalam menjana idea-idea baharu dalam bidang pendidikan negara dari masa ke masa, ibarat air sungai yang mengalir dari gunung, tetap bertali arus tanpa henti.

 

Bagaimanapun, tidak dapat dinafikan bahawa dalam usaha untuk menterjemahkan idea-idea baharu tersebut kepada sesuatu yang berimpak tinggi, IPT terhalang oleh beberapa rintangan daripada segenap aspek.

 

Dalam konteks ini, Dato’ Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, keseragaman merupakan antara rintangan yang mengekang kerencaman IPT untuk membina kekuatan dalam bidang pendidikan negara.

 

Penyeragaman sering mengikat universiti melalui preskripsi yang perlu diikuti oleh semua, walhal setiap universiti memiliki matlamat dan budaya serta kaedah kerja yang berbeza.

 

Taasub kepada penyeragaman bukan sahaja mengekang kerencaman dan merencatkan kepelbagaian pemikiran, tetapi turut mengehadkan inovasi dan kreativiti dalam kalangan pelajar sebagai bakal golongan pemikir masa depan negara.

 

Tanpa penyeragaman, sudah pasti sektor pendidikan negara akan berkembang apabila kepelbagaian pendekatan pembelajaran yang dinamik dan kreatif boleh diaplikasikan dengan tujuan untuk memperkaya pengalaman universiti dan menyumbang kepada pembangunan pelajar.

 

Apabila IPT diberikan kelonggaran untuk bergerak, IPT akan berpeluang mengenal pasti serta mentadbir urus kekuatan dan kelemahan masing-masing, dan melaluinya IPT akan mencapai tahap kompetitif yang pastinya bukan sahaja mampu menjadikan Malaysia sebagai hub pendidikan yang dikagumi di pentas dunia, malah melahirkan graduan yang mampu mengubah dunia.

 

Apabila penyeragaman yang dikenakan tidak sesuai dengan misi dan visi sesebuah universiti, keadaan ini tidak akan membenarkan IPT bergerak dengan pantas dalam mencorakkan pendidikan negara, sebaliknya akan menghambat keupayaan universiti untuk mencapai kemajuan.

 

Adalah penting memberi ruang kepada IPT dalam tadbir kendiri (self-governance) agar universiti dapat memperkukuh autonomi serta mengatur strategi pembelajaran dan inovasi mengikut perkembangan semasa tanpa perlu terikat kepada penyeragaman.

 

Kebebasan ini dilihat membolehkan universiti responsif terhadap keperluan pelajar dan dinamika pendidikan. Namun begitu, kebebasan ini perlulah hadir seiring dengan akauntabiliti, iaitu kebertanggungjawaban yang tinggi dalam tatakelola.

 

Tambah beliau, dalam penggubalan dasar pendidikan negara, misalnya, jika dilihat secara keseluruhan masih relevan untuk diguna pakai sehingga kini kerana setiap dasar diwujudkan setelah dipertimbangkan secara mendalam demi kepentingan pendidikan tinggi negara.

 

Dalam hal ini, sesuatu dasar yang berjaya dirancang bukan diukur dari sudut kejayaan pelaksanaannya sahaja, tetapi perlu dilihat dari sudut kebolehupayaan diinterpretasi oleh bakat warga pendidikan tinggi untuk mencapai hasil yang diingini.

 

Sebenarnya, apabila bakat di sebalik tatakelola mempunyai atribut memudah cara dengan niat untuk membantu dan bukan mengekang, maka sesuatu idea baharu atau dasar baharu yang dijana pasti akan dapat dilaksanakan dengan lancar. 

 

Oleh itu, sebagai sebuah organisasi, adalah penting mengelakkan percakaran malah perlu mendorong bakat untuk memiliki hala tuju yang sama, khususnya dalam mengurus isu dalaman yang bukan sahaja mampu memperlahankan kemajuan, tetapi juga yang mampu meruntuhkan organisasi secara perlahan.

 

Beliau berkata, setiap bakat perlu memainkan peranan sebagai pemudah cara untuk universiti bergerak lebih pantas ke arah kemajuan, ini mampu menghilangkan birokrasi dan akhirnya membantu dalam mencapai matlamat utama setiap universiti.

 

Dalam hal ini, penelitian terhadap penyelidikan berimpak adalah penting agar kita tidak terus berada di takuk lama, dan hasilnya dapat membantu kita menjawab persoalan yang menjadi isu besar buat negara, khususnya dalam bidang pendidikan.

 

Interpretasi daripada kenyataan YAB Perdana Menteri Malaysia dilihat sebagai sinar bagi IPT seluruh Malaysia untuk bukan sahaja terus menjana idea-idea baharu, tetapi juga menterjemahkannya ke dalam bentuk tindakan sebagai usaha responsif IPT terhadap perubahan bidang pendidikan dalam radar modenisasi dunia. YB Menteri Pendidikan Tinggi juga telah mengukuhkan natijah yang sama melalui amanat beliau pada 12 Januari 2024 bertemakan Landasan Hala Tuju KPT 2024.

 

Akhirnya, ini membantu mengurangkan kekangan bagi mengimplementasi idea-idea baharu yang dijana di peringkat IPT dengan membangunkan prosedur sebagai pemudah cara agar IPT berupaya untuk menterjemahkan idea-idea baharu dengan lancar dan efektif ke arah pencapaian hasil, serta seterusnya menyokong kepada proses inovasi dunia pendidikan tanpa hambatan yang tidak perlu.

Date of Input: 15/01/2024 | Updated: 16/01/2024 | hairul_nizam

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BXEbWAZ~