Pesakit Nazak Semasa Waktu Berbuka, Doktor Veterinar Kongsi Detik Getir Di Dewan Bedah | Universiti Putra Malaysia
» ARTICLE » Pesakit nazak semasa waktu berbuka, doktor veterinar kongsi detik getir di dewan bedah

Pesakit nazak semasa waktu berbuka, doktor veterinar kongsi detik getir di dewan bedah

Article Summary
Allahuakbar, Allahuakbar, laungan azan berbunyi tandanya sudah waktu berbuka puasa untuk semua umat Islam di muka bumi ini setelah lebih dari 10 jam menahan lapar dan dahaga.


Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin
Foto Oleh: MUHAMAD ZAID NOR AKAHBAR
 
 
Allahuakbar, Allahuakbar, laungan azan berbunyi tandanya sudah waktu berbuka puasa untuk semua umat Islam di muka bumi ini setelah lebih dari 10 jam menahan lapar dan dahaga.
 
Tetapi ada juga insan yang masih berjuang sewaktu kita semua sedang menikmati juadah berbuka puasa setelah seharian tidak mengisi perut. Beliau masih berjuang untuk menyelamatkan satu nyawa yang sedang bertarung untuk hidup di bilik pembedahan hospital veterinar.
 
Pegawai Veterinar, Hospital Veterinar Universiti Putra Malaysia (UVHUPM), Dr. Nor Alimah Rahman berkongsi pengalamannya selama 20 tahun berkhidmat melakukan pembedahan pada bulan Ramadan melakukan ketika orang lain sedang beriftar.
 
"Namun detik-detik paling menyedihkan sewaktu pesakit kami sedang nazak dalam bilik pembedahan ketika azan berkumandang. Masa itu, kami berusaha sehabis yang mungkin bergabung tenaga menghabiskan operasi pembedahan dalam masa yang pantas supaya dapat selamatkan nyawa pesakit.
 
"Bayangkan sewaktu jalani pembedahan tersebut, mereka nazak dan ahli keluarga semua bergegas ke hospital untuk melihat keluarga kesayangan mereka pergi. Innalillahi wa inna ilaihi raji'un pesakit telah pergi selama-lamanya ketika pembedahan dilakukan.
 
“Perasaan sebak dan air mata mengalir kerana faham bahawa ahli keluarga ini bakal kehilangan haiwan kesayangan mereka," katanya.
 
Sebagai pencinta haiwan mereka akan rasa kematian haiwan kesayangan sama seperti orang yang dicintai pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya.
 
"Emosi ahli keluarga sangat terkesan lagi-lagi semasa waktu berbuka puasa. Kami sebagai doktor veterinar perlu kuat walaupun telah kehilangan pesakit sebagai penghormatan kepada keluarga pesakit walaupun masih belum berbuka puasa.
 
"Mungkin ini sumbangan saya kepada makhluk Allah diatas muka bumi ini. Oleh itu kita haruslah sentiasa bersyukur dan melakukan tanggungjawab dan amanah ini kerana Allah S.W.T. ," katanya.

Date of Input: 21/06/2023 | Updated: 21/06/2023 | syamilakamarul

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BXEbVAC~