RESPON PELAN PENCEGAHAN ISU PEMBUANGAN SISA TOKSIK SUNGAI KIM-KIM | Universiti Putra Malaysia
» ARTICLE » RESPON PELAN PENCEGAHAN ISU PEMBUANGAN SISA TOKSIK SUNGAI KIM-KIM

RESPON PELAN PENCEGAHAN ISU PEMBUANGAN SISA TOKSIK SUNGAI KIM-KIM

**Artikel ini diterbitkan di dalam Bahasa Melayu dan tiada terjemahan di dalam Bahasa Inggeris**

Oleh Prof Madya Dr Juliana Jalaludin

Kepentingan Komunikasi Risiko dan Promosi Kesihatan Persekitaran

Negara kita dikejutkan lagi dengan insiden pembuangan sisa toksik yang telah di lepaskan di aliran sungai Kim-Kim dan di beberapa lokasi di Pasir Gudang yang mana telah memberi impak yang signifikan dalam kalangan komuniti di Pasir Gudang. Insiden yang mulanya di anggap sebagai kes pembuangan sisa industri  dan pencemaran air yang biasa berlaku,  kini melarat hingga ke masalah pencemaran udara yang serius hingga mengakibatkan 111 sekolah dan 92 tadika dan taska ditutup. 12 individu di masukkan di ICU dari jumlah keseluruhan 5848 yang menerima rawatan serta mengalami kejejasan kesihatan terutamanya pada sistem respiratori akibat dari  terhidu udara yang mengandungi bahan kimia toksik dan bahan neurotoksin yang bukan lagi rahsia  malah  menjadi sebutan kepada masyarakat umum seperti sebatian organik mudah yang mudah meruap, (VOC), acrylonitrile dan acrolein. Bagaimana bahan-bahan sisa industri yang memerlukan pengurusan yang khusus boleh tersebar secara meluas di udara dalam lingkungan komuniti yang majoritinya terdiri dari mereka yang rentan seperti kanak-kanak, warga tua dan ibu mengandung?

Kejadian  yang berlaku ini amat jelas dengan apa yang dinyatakan dalam  Surah  Ar Rum : Ayat  30: 41 iaitu:

“Telah nampak kerosakan didarat dan dilaut disebabkan  kerana perbuatan tangan manusia. Allah menghendaki agar mereka  merasakan  sebahagian  akibat perbuatan mereka, agar mereka kembali  kejalan yang benar.”

Sebagai  khalifah di bumi Allah, kita patut memainkan peranan yang besar dalam melestarikan alam sekitar, Bumi Allah yang dipinjamkan kepada umatnya  yang telah dipertanggungjawabkan kepada kita namun apa yang terjadi sebaliknya? Mana hilangnya nilai etika kemanusian, integriti dan Ihsan manusia? Orang yang ihsan tidak pernah mengambil hak orang lain. Ia bahkan masih menyisakan haknya demi kemaslahatan orang lain.

Mengapa hak  komuniti di Pasir Gudang  untuk mendapat nikmat udara yang bersih demi kesejahteraan hidup diabaikan dengan sikap rakus manusia? Apakah hukuman yang sewajarnya patut diberi terhadap pesalah dari industri yang menjalankan aktiviti ini secara haram? Adakah cukup sekadar denda maksimum sebanyak 500 ribu ringgit dan denda 5 tahun penjara? Bilakah pelakunya dan hak komuniti di pasir Gudang boleh diadili ?

 

Komunikasi Risiko Berkesan Diperlukan.

Komuniti di Pasir Gudang ini pada awalnya telah diberi amaran tentang keracunan metana, namun melalui hasil siasatan Jawatankuasa Pengurusan Bencana serta dapatan analisis pencemar yang dijalankan oleh Jabatan Kimia, Jabatan Alam Sekitar serta agensi terbabit telah menemui beberapa gas toksik lain pada 14 Mac lalu, seperti Hydrogen Chloride, Acrylonitrile,  Adrich Toulene, Ethyl  Benzene, , Acrolein dan Xylene sehinggalah ke penemuan, Hydrogen Cyanide. Mengapa terdapat begitu luas percanggahan fakta yang berlaku? Begitu juga tentang pelaporan impak kesihatan akut dan kronik dan risikonya terhadap komuniti yang terdedah berbagai kenyataan bercanggah dilaporkan yang mana boleh menimbulkan kekeliruan awam. Masyarakat kini lebih bijak dan peka serta lebih senang mempercayai maklumat dari media sosial dan sumber-sumber rujukan luar berbanding media rasmi. Harapan kita agar ketepatan laporan dan  maklumat yang jelas dapat di pertingkatkan lagi  dari masa ke semasa dan pelaporan perlu di lakukan oleh mereka yang benar-benar arif dalam bidang kepakaran terbabit agar tidak berlaku masalah bias informasi, serta ketidaktepatan penyampaian maklumat awam demi menjaga kredibiliti pihak yang berkepentingan dan bertanggungjawab menangani isu ini.

 

Kepentingan  Kesihatan Persekitaran

Sekadar berkongsi pengalaman sebagai pegawai akademik dan pengamal bidang Kesihatan Persekitaran atau Environmental Health (EH) yang telah  berkecimpung dalam dunia pengajaran dan penyelidikan sejak 20 tahun lalu dan sering memfokuskan kajian terhadap isu pencemaran udara akibat fenomena Jerebu sejak tahun 1994, isu pencemaran  trafik,  industri sehinggalah ke masalah pencemaran udara dalaman sekolah dan persekitaran rumah. Selain terlibat secara langsung sebagai Timbalan Pengerusi Persidangan bersama MyCAS (Malaysia Clean Air Forum Clean Air Society) iaitu Pertubuhan Udara Bersih di Malaysia bersama Clean Air Asia (CAA) di mana Negara Malaysia  telah berjaya terpilih dan menganjurkan persidangan terbesar di Asia atau Better Air Quality 2018 (BAQ 2018) yang mana telah mendapat pengiktirafan diperingkat dunia. Timbul kekecewaan dan sangat terkesan  dengan  peristiwa yang berlaku di sungai Kim –Kim  ini. Mengapakah kejadian seperti ini masih berlaku di Malaysia di tahun 2019?  Jika di fikirkan semula ya, sedangkan masalah sampah dan sisa pepejal dan plastik  juga masih menjadi topik  perdebatan apatah lagi  lagi  isu merokok di lingkungan persekitaran komuniti. Masih ramai lagi masyarakat yang tidak faham? Dimana silapnya kita?

Penerapan ilmu dari bidang Kesihatan Persekitaran amat penting dalam kontak budaya masyarakat di Malaysia sebagai kaedah pencegahan dan penyelesaian isu ini  dan ianya perlu diterap dan difahami, dihayati serta dipraktikkan sejak  usia muda dalam konteks pengajaran formal kurikulum di sekolah. Ramai orang sering berfikir kesihatan Persekitaran ini hanyalah dari segi keperluan bagi mendapatkan udara, air dan makanan yang bersih, tetapi daya alam semulajadi termasuk perkara-perkara seperti pemanasan global  juga merupakan elemen yang penting dalam Kesihatan Persekitaran.

Kesihatan Persekitaran adalah suatu cabang ilmu dalam bidang kesihatan awam yang mengetengahkan konsep kesedaran dan pengetahuan berkenaan aspek alam semula jadi, persekitaran terbina yang mempunyai hubungkait dengan kesihatan manusia sejagat dengan memantau dan menangani faktor-faktor fizikal, kimia, biologi, psikologi dan psikososial yang kita mungkin tidak mempunyai kawalan langsung, tetapi ia boleh memberi kesan yang signifikan kepada kesihatan dan kesejahteraan kita. Segala aspek tubuh manusia termasuk kesihatan dan penyakit manusia mempunyai kaitan dengan faktor dalam alam sekitar. Ia juga merujuk kepada teori dan amalan berterusan menilai dan mengawal faktor dalam persekitaran yang boleh memberi kesan kepada kesihatan masa kini dan masa hadapan. 

Kesihatan persekitaran merujuk kepada World Health Organization (WHO), termasuklah kedua-dua kesan langsung patologi kimia, fizikal, radiasi dan beberapa agen biologi, dan kesan secara langsung dan tidak langsung kepada kesihatan dan kesejahteraan. Ia juga meliputi kesan terhadap persekitaran fizikal, sosial dan estetika termasuklah perumahan, pembangunan kawasan bandar, tanah dan pengangkutan. Sebagai contoh, jika komuniti  kanak-kanak  dan warga emas tinggal di kawasan  yang tinggi kepadatan trafik, berdekatan industri, pembinaan serta perlombongan maka keadaan persekitaran itu tidak lagi sesuai dan boleh memberi impak yang signifikan kepada kesihatan mereka. Begitu juga dengan apa bahan binaan rumah yang kita gunakan, apa serangga dan mikroorganisma yang berada berdekatan, atau jenis makanan yang kita ambil sebenarnya ia boleh memberi kesan kepada kesihatan individu dan kesihatan keluarga anda.

Ringkasnya, EH adalah bidang kesihatan awam yang menangani pelbagai faktor di sekeliling kita yang dapat memberi kesan kepada kesejahteraan fizikal dan mental kita. Sudah sampai masanya untuk negara kita mempunyai sistem data asas Kesihatan Persekitaran (EH data base) komuniti yang lengkap juga kohort yang terdedah kepada agen persekitaran agar kaedah epidemiologi persekitaran, teknik penilaian pemodelan serta peramalan risiko pendedahan dan impaknya terhadap kesihatan boleh dinilai dalam jangkamasa singkat dan panjang. Sebagai contoh penggunaan data komuniti  Pasir Gudang yang terdedah diguna pakai dalam penilaian pendedahan  berasaskan kaedah yang saintik, sistematik yang terancang dan menyeluruh.  Selain dari menjalankan kajian epidemiologi berbentuk keratan rentas (cross sectional) kajian kes kawalan (case control). Kajian berbentuk Kohort retrospektif dan prospektif juga perlu dilaksanakan dalam kalangan komuniti terbabit agar kita dapat mengenalpasti hazard atau pembahayaan di persekitaran komuniti berisiko  agar langkah pencegahan dapat dikenalpasti diperingkat awal sebelum isu ini menjadi lebih serius.

Berkongsi pengalaman bersama team MyCAS semasa berada di Pusat Gerakan Pengurusan  Bantuan Bencana dan melihat sendiri aktiviti yang berlaku di Pusat Rawatan Awal (Medic Base) di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) bersama petugas yang melibatkan diri dalam aktiviti penyaringan dan rawatan perubatan kesihatan dilakukan. Saya ingin memuji komitmen tinggi yang telah diberikan oleh semua agensi kerajaan, swasta dan agensi luar serta NGO yang bertungkus lumus melakukan pemantauan, pengurusan dan penilaian kes ini bagi menangani serta membantu komuniti terbabit. Namun begitu terdapat beberapa cadangan khusus yang boleh yang digunapakai supaya sistem pengurusan ini boleh ditambah baik agar lebih secara cekap, sistematik dan berkesan untuk pelan mitagasi komuniti jangka panjang.

 

Pelan Pencegahan dan  Promosi Kesihatan Persekitaran berkaitan Isu di Pasir Gudang dan Pelan Mitigasi Masa Hadapan

  1. Mempertingkat Sistem Komunikasi Risiko terhadap masyarakat awam dari sumber kerajaan supaya tidak mengelakkkan kekeliruan maklumat di masa hadapan. Masyarakat berhak tau apa sahaja  hazard atau pembahayaan serta aktiviti yang berlaku dipersekitaran mereka bagi mengelakkan kekeliruan serta langkah-langkah jelas yang patut di patuhi seperti tindakan mengelakkan diri dari berada di persekitaran yang berisiko serta penggunaan alat perlindungan diri yang paling sesuai dengan keadaan semasa.   
  2. Program penyaringan pengenalpastian sumber asal pencemar (source point) dan pemantauan kualiti udara dan air dilakukan berterusan di kawasan berpotensi mengalami masalah pencemaran seperti kawasan industri berat, petrokimia, trafik dan bandar dengan mengambilkira tahap piawaian untuk golongan awam yang terdiri dari kanak-kanak,  warga emas juga ibu mengandung kerana kejejasan masalah kesihatan dan risikonya di kalangan kumpulan ini bagi penilaian kesan akut dan kronik akibat pendedahan yang berlaku.
  3. Merangka Standard Operating Procedure (SOP) bagi pelan pengurusan kecemasan (Emergency Response Plan) yang lebih jelas dan pelan mitigasi untuk isu pengurusan bencana khususnya yang melibatkan pengendalian sisa kimia toksik berbahaya, di sekolah, tadika dan di peringkat komuniti. Negara kita sewajarnya mempunyai sistem ini agar pelaksanaan proses pengurusan bencana lebih mudah diuruskan dengan cekap.
  4. Pelan Strategik Pengurusan Kualiti Udara Dalaman dan pengurusan persekitaran (KUD/IAQ-Indoor Air Quality) di sekolah dan persekitaran kediaman. Sehingga kini kita tiada standard piawaian untuk Kualiti Udara Dalaman di Malaysia seperti negara maju yang lain. Isu ini sangat penting tapi ia tidak begitu di beri perhatian kerana tiada pihak berkepentingan tampil memainkan peranan khusus terhadap keperluan ini. Telah banyak kajian tempatan dilakukan dan kerajaan boleh merujuk kepada dapatan dan hasil kajian penyelidik bagi pembangunan pelan ini. Pihak pengurusan sekolah dan guru-guru dan ibubapa juga boleh terlibat dalam memainkan peranan yang khusus di peringkat ini.
  5. Program Promosi  Kesihatan Persekitaran – Melalui program ini komuniti dan pihak sekolah perlu didedahkan dengan pengetahuan tentang agen pembahayaan fizikal, kimia, biologi dan risiko kesihatan dan kesan toksikologi  akut dan kronik akibat pendedahan kepada agen ini di persekitaran dan seterusnya langkah mengurangkan risiko akibat pendedahan in dapat diperjelaskan dan menjadi amalan semua. Amalan gaya pemakanan yang baik juga perlu dititik beratkan dalam program ini di mana amalan pengambilan makanan tertentu sebenarnya boleh membantu dalam meningkatkan taraf kesihatan dan sistem imuniti  tubuh kanak-kanak dan warga yang terlibat. Sebagai contoh terdapat beberapa jenis makanan tertentu yang boleh di ambil yang mengandung enzim biotransformasi di mana enzim-enzim ini akan bertindak melalui proses biotransformasi menukarkan bahan pencemar yang  terdapat dalam pelbagai makanan yang boleh kita sarankan kepada komuniti terdedah bagi meningkatkan taraf kesihatan komuniti yang terbabit.

Prof Madya Dr Juliana Jalaludin 

Ketua Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan

Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan

Date of Input: 22/10/2019 | Updated: 22/10/2019 | hairul_nizam

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BXDdJAB~