Rumah Cendawan PPP UPM Amal Konsep Sifar Sampah Urus Hasil Buangan Dengan Menjana Pendapatan | Universiti Putra Malaysia
» ARTICLE » Rumah cendawan PPP UPM amal konsep Sifar Sampah urus hasil buangan dengan menjana pendapatan

Rumah cendawan PPP UPM amal konsep Sifar Sampah urus hasil buangan dengan menjana pendapatan

Article Summary
Pusat Pertanian Putra Universiti Putra Malaysia (PPP UPM) mengamalkan konsep sifar sampah ‘zero waste’ dalam penanaman cendawan bertujuan untuk mengurangkan pencemaran alam sekitar, mengurus hasil buangan dan menambah hasil pendapatan.


Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin

Foto Oleh: MD Nasir Hussin

Pusat Pertanian Putra Universiti Putra Malaysia (PPP UPM) mengamalkan konsep sifar sampah ‘zero waste’ dalam penanaman cendawan bertujuan untuk mengurangkan pencemaran alam sekitar, mengurus hasil buangan dan menambah hasil pendapatan.

PPP UPM mengusahakan tanaman cendawan bagi menjana pendapatan dengan mengusahakan cendawan tiram kelabu, cendawan tiram kuning, cendawan berwarna merah jambu dan cendawan telinga kera sejak tahun 2005 lagi.

Namun cendawan berwarna kuning, cendawan berwarna merah jambu dan cendawan telinga kera (black jelly) masih asing bagi masyarakat sekitar kerana bau dan rasanya yang berbeza dengan cendawan tiram kelabu.

Menurut Pegawai Pertanian UPM, Junizawati Mohd Zin, cendawan yang dijual oleh PPP UPM boleh didapatkan dengan harga mampu milik walaupun menggunakan benih yang baik serta menghasilkan hasil tebal, gebu dan tidak berkerinting, tidak berwarna lain dan tidak mengeluarkan bau busuk atau hanyir.

“Kualiti cendawan di UPM sangat baik kerana substrat yang digunakan untuk bongkah kayu ini adalah  habuk kayu pokok getah, dedak padi dan kapur pertanian. Bukan itu sahaja, setiap bongkah cendawan di PPP UPM mampu mengeluarkan 30 kali kitaran hasil manakala yang biasa adalah 6 hingga 10 kali kitaran hasil. Ianya sangat berbeza dengan pembekal secara terus atau pembekal atas talian.

“PPP UPM menghasilkan cendawan yang mempunyai kualiti yang sangat tinggi tanpa menggunakan baja kimia dan 100% organik. Cendawan tiram kelabu, kuning, merah jambu dan telinga kera dihasilkan daripada gred A dan Gred B sahaja di UPM.

Cendawan gred A, kelopaknya cantik dan saiznya agak kecil sedikit berbanding cendawan gred B dengan saiz yang sangat besar.

“Bagi orang luar mereka merasakan saiz cendawan bersaiz besar sangat sedap. Tetapi kelopak cendawan yang sempurna bentuknya adalah lebih baik dan sedap berbanding gred B. Ini kerana benih cendawan yang digunakan adalah daripada hasil cendawan yang terbaik di UPM,” katanya.

Sejak 2005 rumah cendawan yang terletak di Unit Agroteknologi PPP UPM beroperasi sehingga hari ini menguruskan cendawan daripada pembuatan bongkah cendawan untuk dijual kepada orang ramai yang ingin berjinak-jinak dalam dunia cendawan.

Sementara itu Penolong Pegawai Pertanian UPM, Zaliza Mahat menyatakan hasil cendawan yang dihasilkan di PPP UPM buat masa ini dipasarkan di sekitar UPM dan Putra Mart Pusat Pertanian Putra UPM, selain menjual benih cendawan yang dihasilkan sendiri kepada pengusaha kecil-kecilan dan juga bongkah cendawan yang mampu mengeluarkan 30 kali kitaran hasil.

“Kami akan menggunakan sepenuhnya hasil cendawan dan bongkah cendawan untuk mengurangkan pembuangan sisa daripada tanaman cendawan. Ini kerana PPP UPM akan menggunakan tunggul cendawan sebagai kajian penyelidikan oleh fakulti Bioteknologi dan fakulti Kejuteraan.

“Tunggul cendawan mempunyai kandungan protein yang sangat tinggi dan boleh menghasilkan tepung berprotein tinggi manakala ianya juga boleh dijadikan sebagai daging burger berasaskan cendawan. Jadi pakar penyelidik di UPM dapat menginovasikan tunggul cendawan ini daripada dibuang, disamping itu membantu masyarakat di luar sana.

Beliau berkata, bongkah cendawan yang telah digunakan akan dihantar ke pusat Bio Kompos PPP UPM untuk dijadikan sebagai bahan media tanaman. - UPM

Date of Input: 31/05/2023 | Updated: 31/05/2023 | syamilakamarul

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BXEcEAW~