Tau Fu Fah: Pencuci Mulut Sihat Dan Menyegarkan Di Bulan Ramadan | Universiti Putra Malaysia
» ARTICLE » Tau Fu Fah: Pencuci Mulut Sihat dan Menyegarkan di Bulan Ramadan

Tau Fu Fah: Pencuci Mulut Sihat dan Menyegarkan di Bulan Ramadan

Article Summary
Tau Fu Fah, atau douhua, bukan sekadar pencuci mulut tradisional, pencuci mulut ini adalah hidangan berkhasiat yang telah menambat hati ramai, terutamanya ketika bulan Ramadan. Teksturnya yang lembut dan rasa yang menyegarkan menjadikannya sebagai pilihan yang sempurna untuk berbuka puasa.


Oleh: Noor Eszereen Juferi

 

 

Tau Fu Fah, atau douhua, bukan sekadar pencuci mulut tradisional, pencuci mulut ini adalah hidangan berkhasiat yang telah menambat hati ramai, terutamanya ketika bulan Ramadan. Teksturnya yang lembut dan rasa yang menyegarkan menjadikannya sebagai pilihan yang sempurna untuk berbuka puasa.

 

Di Malaysia, Tau Fu Fah biasanya dihidangkan dengan sirap gula merah atau gula Melaka, memberikan keseimbangan rasa manis dan tauhu. Pencuci mulut ini juga sebenarnya kaya dengan manfaat kesihatan.

 

Pensyarah Kanan, Jabatan Pengurusan dan Khidmat Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan (FSTM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Siti Nurhayati Khairatun Mohd Sharif, berkata Tau Fu Fah dibuat daripada susu soya yang dipadatkan menggunakan agen koagulan seperti agar-agar, gypsum (kalsium sulfat), atau GDL (Glucono Delta Lactone).

 

“Ia berbeza daripada tauhu biasa kerana teksturnya yang sangat halus, hampir seperti puding. Tau Fu Fah boleh dinikmati panas atau sejuk, serta dihidang dengan pelbagai pemanis seperti gula putih, gula perang, sirap pandan, sirap halia atau madu,” katanya.

 

Tambah beliau, proses pembuatannya bukan sekadar mencampur bahan semata-mata. Pemilihan susu soya berkualiti tinggi sangat penting untuk memastikan tekstur yang lembut dan enak. Suhu juga memainkan peranan besar, campuran susu soya perlu dipanaskan pada 85-90°C sebelum koagulan ditambah dan dibiarkan membeku selama 30 minit untuk hasil terbaik.

 

“Tau Fu Fah juga kaya dengan protein berkualiti tinggi dan isoflavon, yang baik untuk kesihatan jantung dan keseimbangan hormon. Tetapi individu yang alah kepada soya perlu berhati-hati kerana ia boleh menyebabkan reaksi alahan, dari ringan seperti gatal-gatal hingga serius seperti anafilaksis,” kanya.

 

Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Pemakanan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), UPM, Dr. Mohd Redzwan Sabran, berkata Tau Fu Fah tanpa gula adalah pilihan yang lebih baik untuk individu yang menghidap diabetes atau tekanan darah tinggi.

 

“Tau Fu Fah tanpa gula mempunyai 0.4g lemak dan hanya 26 kilo kalori, menjadikannya pencuci mulut rendah kalori dan bebas kolesterol. Malah, ia juga mengandungi isoflavone dan kalium yang membantu mengawal tekanan darah,” katanya.

 

Tambah beliau, dengan kandungan nutrien yang tinggi dan tekstur yang lembut, Tau Fu Fah bukan sekadar pencuci mulut biasa. Ia adalah pilihan yang lebih sihat, terutamanya bagi mereka yang ingin menikmati makanan manis tanpa perlu risau tentang pengambilan kalori yang berlebihan.

 

“Jika ingin menambahkan rasa manis, pemanis semula jadi seperti madu, gula aren, atau stevia adalah alternatif yang lebih sihat berbanding gula putih. Selain itu boleh juga dimakan dengan buah-buahan segar seperti mangga, strawberi atau beri yang dapat meningkatkan kandungan serat dan vitamin,” katanya.

 

Sama ada dinikmati panas atau sejuk, dengan sirap gula Melaka atau madu, Tau Fu Fah sememangnya pencuci mulut yang menenangkan selepas seharian berpuasa.

 

Ini antara tips yang boleh anda cuba untuk menghasilkan sendiri Tau Fu Fah di rumah:

 

  1. Gunakan susu soya berkualiti tinggi – Pastikan kandungan proteinnya cukup tinggi (5-6%) untuk mendapatkan tekstur yang sempurna.

 

  1. Pilih koagulan yang sesuai – GDL memberikan tekstur yang lebih licin, gypsum menghasilkan rasa klasik, dan agar-agar sesuai untuk vegetarian.

 

  1. Jaga suhu dan proses membeku – Jangan terlalu banyak mengacau selepas koagulan ditambah bagi mengelakkan gangguan dalam pembentukan tekstur.

 

  1. Simpan dengan betul – Pastikan Tau Fu Fah disimpan dalam suhu dingin dan peralatan yang digunakan sentiasa bersih untuk mengekalkan kualiti dan ketahanan produk.

Date of Input: 13/03/2025 | Updated: 13/03/2025 | hairul_nizam

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BYDNUAA~