Wira Senyap Di Sebalik Majlis Konvokesyen UPM | Universiti Putra Malaysia 99 spel
» ARTICLE » Wira Senyap di Sebalik Majlis Konvokesyen UPM

Wira Senyap di Sebalik Majlis Konvokesyen UPM

Article Summary
Setiap detik indah yang berlaku di dalam dewan, hakikatnya lahir daripada usaha ratusan individu yang bekerja tanpa henti di luar perhatian umum. Polis Bantuan UPM kekal sebagai wira senyap yang memastikan majlis konvokesyen berlangsung dengan tertib, selamat dan bermaruah.


Polis Bantuan UPM “Wira Senyap” pastikan kesempurnaan Majlis Konvokesyen

Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin



Di sebalik debaran ribuan graduan yang melangkah masuk ke Dewan Besar Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM), Polis Bantuan UPM merupakan wira senyap yang tidak kelihatan di depan kamera namun menjadi tulang belakang kelancaran sepanjang majlis konvokesyen berlangsung.

Walaupun majlis bermula seusai matahari pagi kelihatan, tetapi anggota Polis Bantuan memulakan operasi jauh lebih awal. Tepat jam 4.45 pagi, seluruh pasukan berkumpul bagi sesi roll call, solat Subuh dan sarapan sebelum turun ke lapangan.

Pengarah Pusat Polis Bantuan dan Keselamatan Universiti (APSeC), Tuan Norazlan Mohammed, berkata pasukan bergerak ke lokasi sekitar 6.15 pagi setiap hari bagi membuka operasi keselamatan di seluruh kawasan kampus.

“Kami adalah individu pertama yang memulakan operasi dan individu terakhir meninggalkan kawasan apabila semua tetamu bersurai. Lazimnya, tugas kami hanya selesai hampir jam 3 petang bagi memastikan seluruh kawasan berada dalam keadaan selamat dan terkawal,” katanya.

Menurut beliau, kawalan keselamatan bermula dari luar kampus dengan anggota ditempatkan di setiap simpang dan parkir untuk memastikan pergerakan kenderaan lancar serta membantu warga emas dan OKU menuju ke dewan tanpa kesulitan.

Di dalam dewan pula, Polis Bantuan memastikan semua tetamu memasuki ruang masing-masing sebelum waktu ditetapkan, termasuk menyelaras pergerakan tetamu kehormat dan memastikan laluan utama dikosongkan sebelum ketibaan mereka.

“Salah satu tugas paling kritikal ialah memastikan laluan dikosongkan sepenuhnya sebelum keberangkatan tiba Tuanku Canselor. Kami menyediakan sokongan melalui pemantauan CCTV, kawalan kawasan dan koordinasi laluan. Semua ini perlu dilakukan tepat dalam tempoh 15 minit tanpa sebarang kesilapan,” katanya.

Katanya, cabaran terbesar bukan hanya ketika majlis berlangsung, tetapi selepas majlis berakhir apabila pergerakan tetamu menjadi lebih dinamik dengan keluarga bergambar, graduan mencari rakan dan penjual bunga cuba mendekati kawasan yang dihadkan.

“Cabaran lebih sukar juga apabila ada yang enggan mematuhi kawalan lalulintas. Ketika inilah kesabaran, ketegasan dan kemahiran mengurus orang ramai benar-benar diuji,” katanya.

Beliau berkata, tanggungjawab mereka amat signifikan kerana menjadi tulang belakang aspek keselamatan, pengurusan orang ramai dan protokol sepanjang majlis. Dalam hal ini, beliau menzahirkan penghargaan atas kerjasama erat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang disifatkannya amat penting, bukan sahaja melalui bantuan penugasan malah menerusi panduan dan tunjuk ajar yang mengukuhkan kesiapsiagaan serta keupayaan operasi Polis Bantuan UPM, khususnya ketika penganjuran acara besar seperti Majlis Konvokesyen.


“Kami bukan sekadar pasukan keselamatan. Kamilah barisan hadapan setiap kali berlaku kecemasan dan penghubung komunikasi antara lapangan serta pusat kawalan. Seluruh perjalanan konvokesyen perlu bergerak tepat seperti dirancang tanpa menjejaskan keselamatan ribuan tetamu,” katanya.

Walaupun tugasan kelihatan tegas, wujud sisi kemanusiaan yang mengikat pasukan itu setiap tahun. Antara rutin paling bermakna ialah sarapan awal pagi bersama yang menjadi simbol kesatuan dan pengorbanan mereka.

Pada hari sebenar majlis, seluruh pasukan yang biasanya jarang bertemu dalam tugasan harian berkumpul sebagai satu keluarga besar, membawa misi sama dengan memastikan kelancaran hari paling bersejarah buat setiap graduan UPM.

Setiap detik indah yang berlaku di dalam dewan, hakikatnya lahir daripada usaha ratusan individu yang bekerja tanpa henti di luar perhatian umum. Polis Bantuan UPM kekal sebagai wira senyap yang memastikan majlis konvokesyen berlangsung dengan tertib, selamat dan bermaruah.

 

Date of Input: 27/11/2025 | Updated: 27/11/2025 | syamilakamarul

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BYLcQAI~