Program Jelajah UPM Dekatkan Pelajar Tingkatan Enam SMK Dato’ Syed Ahmad Dengan Kehidupan Kampus | Universiti Putra Malaysia 99 spel
» BERITA » Program Jelajah UPM dekatkan pelajar tingkatan enam SMK Dato’ Syed Ahmad dengan kehidupan kampus

Program Jelajah UPM dekatkan pelajar tingkatan enam SMK Dato’ Syed Ahmad dengan kehidupan kampus

Oleh: Prof. Madya Dr. Siti Suriawati Isa

 

 

SERDANG, 23 Disember – Seramai 96 pelajar tingkatan enam dan 15 guru termasuk Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Syed Ahmad, Kuala Nerang, Kedah, telah menyertai Program “Jelajah UPM” di Universiti Putra Malaysia (UPM) baru-baru ini bagi memberikan pendedahan kepada kehidupan kampus.

 

Peserta program ditempatkan di tiga kolej kediaman iaitu Kolej Canselor (KC), Kolej Sultan Alaeddin Suleiman Shah (KOSASS), dan Kolej Tun Dr. Ismail (KTDI). Pengalaman bermalam di kolej kediaman memberikan gambaran sebenar kehidupan pelajar universiti.

 

Ketua program, Prof. Madya Dr. Siti Suriawati Isa berkata program ini secara langsung memberi peluang kepada pelajar untuk mengenali Upm dengan lebih dekat serta merasai sendiri suasana di kampus.

 

“Pelajar yang ditemu meluahkan keinginan untuk menyambung pengajian di UPM, terinspirasi oleh gabungan pembelajaran teori dan praktikal yang ditekankan di universiti ini. Guru sekolah ini turut menyatakan program ini berjaya membuka mata pelajar mengenai peluang pendidikan tinggi,” katanya.

 

Beliau juga berharap lawatan ini memberi inspirasi kepada pelajar untuk terus berjuang menuntut ilmu hingga ke menara gading bagi melahirkan generasi berilmu yang menyumbang kembali ke masyarakat kelak.

 

“Terdapat pelajar melalui program lawatan ini yang sebelum ini tidak berminat menyambung pengajian di tingkatan enam kini bertekad melanjutkan pelajaran sehingga tamat STPM untuk menyambung pengajian di UPM,” katanya.

 

Menariknya, lima guru yang mengiringi pelajar merupakan alumni UPM, termasuk Pengetua SMK Dato’ Syed Ahmad. Bahkan, beberapa guru turut menyuarakan hasrat untuk melanjutkan pengajian di peringkat sarjana di UPM.

 

Selain itu, pelajar-pelajar tersebut turut melawat Pusat Pendidikan Sultan Idris Shah (SISFEC) dan mendengar taklimat daripada Penolong Pemelihara Hutan, Mohd Naem Abdul Hafiz, mengenai Hutan Simpan Ayer Hitam yang diuruskan oleh UPM.

 

Kejayaan program ini adalah hasil kerjasama erat pelbagai pihak di UPM termasuk kolej kediaman, fakulti, Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), Pusat Islam, dan Bahagian Keselamatan.

 

Dalam pada itu, program tersebut berjaya memberikan pendedahan dan pengalaman bermakna kepada para peserta, sekali gus mengubah persepsi belia terhadap kepentingan pendidikan tinggi.

 

 

 

Tarikh Input: 23/12/2024 | Kemaskini: 23/12/2024 | eszereen

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BYGQCAK~