Dr. Mohd Roslan Anak Melayu Berjaya Kaji 18 Etnik Orang Asli Semenanjung Malaysia | Universiti Putra Malaysia
» NEWS » Dr. Mohd Roslan anak Melayu berjaya kaji 18 etnik Orang Asli Semenanjung Malaysia

Dr. Mohd Roslan anak Melayu berjaya kaji 18 etnik Orang Asli Semenanjung Malaysia

 

Oleh: Noor Eszereen Juferi

Foto Oleh: Muhammad Nur Zairi Mohd Nazari

 

Masyarakat Orang Asli Semenanjung Malaysia adalah penduduk peribumi yang wujud sejak lebih 60 ribu tahun dahulu yang mempunyai pandang dunia (worldview) tersendiri dan begitu akrab dengan alam sekitar serta majoritinya masih mengamalkan kepercayaan animism.

 

Kini, masyarakat Orang Asli berjumlah kira-kira 215,000 serta mempunyai 18 suku kaum Orang Asli di sekitar Semenanjung Malaysia iaitu Jakun, Orang Kanaq, Orang Kuala, Orang Seletar, Semelai, Temuan, Bateq, Jahai, Kensiu, Kintak, Lanoh, Mendriq, Che Wong, Jahut, Mahmeri, Semai, Semoq Beri dan Temiar.

 

Mengulas mengenai masyarakat Orang Asli masa kini, Pensyarah Kanan, Jabatan Sains Kemasyarakatan dan Pembangunan, Fakulti Ekologi Manusia (FEM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Mohd Roslan Rosnon berkata komuniti ini telah melalui pelbagai perubahan.

 

“Walaupun masyarakat Orang Asli adalah golongan etnik minoriti di negara tetapi mereka sudah berintegrasi dan menerima pembangunan namun isu kemiskinan masih membelenggu komuniti ini kerana lokaliti dan sumber ekonomi yang terhad,” katanya.

 

Beliau berkata, kadar keciciran anak Orang Asli ke sekolah kini berkurangan dari 15 tahun yang lalu dengan pemberian pelbagai insentif dan pembinaan sekolah khas untuk mereka, namun kadar keciciran besar berlaku ketika transisi dari sekolah rendah ke sekolah menengah.

 

“Mereka sebenarnya bukan tidak suka ke sekolah tetapi isunya bagaimana pedagogi pendidikan kita tidak responsif terhadap budaya Orang Asli yang menyebabkan mereka berasa terasing dan kurang minat,” katanya

 

Selain itu, isu hak tanah menjadi perjuangan yang panjang bagi masyarakat Orang Asli Semenanjung Malaysia kerana mereka tidak mendapat hak dan pemilikan terhadap tanah yang didiami mereka.

 

“Tanah merupakan semangat, jiwa dan darah mereka. Selain itu, alam sekitar mempunyai hubungan rohani dan menjadi budaya turun temurun. Tanah dan alam sekitar berakar umbi dalam kehidupan mereka,” katanya.

Prof. Madya Dr. Mohd Roslan berkata, istilah Orang Asli hanya digunakan untuk merujuk kepada orang asal di Semenanjung Malaysia.

 

“Ini berbeza di Malaysia Timur yang merupakan Orang Asal atau lebih dikenali sebagai peribumi Sabah dan Sarawak telah membentuk majoriti penduduk berstatus Bumiputera di negara ini,” katanya.

 

Apabila ditanya mengapa memilih Orang Asli sebagai kajian penyelidikannya, Prof. Madya Dr. Roslan berkata keunikan dan kepelbagaian suku kaum tersebut telah menyuntik minat beliau untuk mendalami komuniti Orang Asli.

 

“Walaupun ada pelbagai kajian mengenai masyarakat Orang Asli namun, banyak isu Orang Asli yang belum dapat diselesaikan dan saya memilih untuk meneruskan legasi kajian tersebut kerana kita kekurangan pakar dalam bidang ini,” katanya.

 

Anak jati Kuala Lumpur yang berkepakaran dalam Antropologi dan Sosiologi pengkhususan Indigenous Studies dan pembangunan komuniti berkata, beliau telah berkecimpung dalam kajian Orang Asli selama 16 tahun tidak canggung berkunjung ke perkampungan Orang Asli ketika menjalankan penyelidikan beliau.

 

“Di Semenanjung Malaysia kita mempunyai hampir 864 kampung masyarakat Orang Asli dan apabila saya perlu menjalankan penyelidikan saya akan ke kampung Orang Asli berkenaan untuk mendalami cara hidup mereka dan turut memberi fokus kepada budaya mereka,” katanya.

 

Beliau turut kongsikan pengalaman beliau ketika melanjutkan pengajian peringkat PhD dalam dengan menjalankan kajian perbandingan komuniti Orang Asli Semenanjung Malaysia dan Aborigine People di Australia.

 

“Masyarakat Aborigine dan Torres Strait Islander di Australia merupakan kumpulan teramai jadi komuniti ini sering menjadi agenda negara justeru, inisiatif yang dijalankan di sana adalah lebih tersusun dan komprehensif serta mempunyai pelan jangka masa panjang berbeza di negara ini,” katanya.

 

Selain Australia, kepakaran beliau turut dirujuk dalam menjalankan kolaborasi penyelidikan mengenai masyarakat peribumi di New Zealand, Indonesia dan Thailand.

 

Dalam pada itu, beliau yang pernah dilantik sebagai Ahli Task Force, Makmal Hala Tuju Pendidikan Orang Asli, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkata kerajaan turut berusaha menyelesaikan permasalahan itu dengan melaksanakan Sekolah Model Khas K11 bagi menjamin pendidikan masyarakat Orang Asli dan pelbagai inisiatif lain telah disediakan untuk mereka menuntut ilmu hingga ke menara gading.

 

Pada tahun 2017, Prof. Madya Dr. Mohd Roslan telah menjalankan program Pemerkasaan Murid Orang Asli yang telah dijalankan selama tiga tahun berjaya memenangi Anugerah Jaringan Industri dan Komuniti Berimpak Tinggi (ICAN) 2019 untuk kategori Rakan Komuniti Terbaik. Pada 2019 juga buku beliau Pembangunan Kontemporari Orang Asli mendapat Anugerah Buku Negara.

 

Beliau kini sedang bergiat aktif menjalankan kajian Semakan Akta Orang Asli 1954 [Akta 134] dan Kesejahteraan Orang Asli serta dilantik sebagai Penyelaras Pembangunan Sosial & Multiculturalism, World University Association of Community Development (WUACD) yang memberi fokus kepada masyarakat peribumi.

 

Date of Input: 13/08/2024 | Updated: 13/08/2024 | hairul_nizam

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BYFTNAG~