Pelajar Baharu Teruja Masuk Kampus, Jumpa Rakan Sekuliah | Universiti Putra Malaysia
» NEWS » Pelajar baharu teruja masuk kampus, jumpa rakan sekuliah

Pelajar baharu teruja masuk kampus, jumpa rakan sekuliah

**This news was published in Bahasa Melayu and has no translation in English

Oleh: Prof. Madya Dr. Mohd Izani Mohd Zain

 

Rata-rata pelajar baharu sesi akademik 2020-2021 pastinya teruja untuk memasuki kawasan Universiti Putra Malaysia (UPM) juga menikmati kehidupan kampus sebenar apabila impak pandemik COVID-19 semakin berkurangan kelak dan sesi pembelajaran dibuka seperti biasa.

Mohd Iskandar Zulkarnain Sukardi

 

Perasaan ini semakin menggunung apabila UPM adalah universiti pilihan utama mereka untuk menyambung pengajian. Mohd Iskandar Zulkarnain Sukardi, pelajar Bacelor Sains Pembangunan Sumber Manusia, Fakulti Pengajian Pendidikan berkata, beliau amat gembira dan teruja kerana universiti ini (UPM) telah menjadi impian beliau apabila hendak melangkah ke alam universiti suatu hari nanti.

Bercerita tentang pengalaman pembelajaran dalam talian, Iskandar mengakui pada mulanya proses pembelajaran agak sukar. Namun beliau berpandangan ia perlu diteruskan dan pelajar harus cepat menyesuaikan diri untuk belajar dalam talian. Beliau turut tidak menafikan bahawa pelbagai cabaran yang perlu dilalui apabila belajar dalam talian, antaranya rangkaian internet yang tidak stabil menjadi faktor utama yang menghalang proses pembelajaran berjalan dengan lancar.

Sejak pendaftaran dalam talian pada Oktober lalu, pelajar-pelajar baharu belum berpeluang untuk belajar secara bersemuka dengan pensyarah masing-masing dan mengenali rakan sekuliah.

“Saya hanya mengenali rakan sekuliah secara dalam talian sahaja buat masa ini tetapi mereka semua peka dan membantu antara satu sama lain apabila berada dalam kuliah, Justeru, perkara pertama saya akan lakukan apabila memasuki kampus nanti adalah bertemu dengan rakan-rakan sekuliah yang hanya mengenali melalui talian sebelum ini”. Ujar Iskandar lagi.

 

Thaneswari a/p Balakrishnan

 

Seorang lagi pelajar baharu, Thaneswari a/p Balakrishnan dalam program pengajian yang sama turut menggesa pelajar baharu UPM agar memberi fokus kepada pembelajaran masing-masing.

“Jadilah sebahagian daripada kelas. Jangan mengasingkan diri daripada rakan sekelas kerana anda kini menjadi sebahagian daripada mereka. Perkenalkan diri anda kepada rakan sekelas, profesor dan orang lain yang dapat memberi tunjuk ajar”. Pesan beliau kepada rakan sekuliah.

Memandangkan pengalaman belajar di kampus kelak adalah suatu pengalaman baharu, Thanes berharap pelajar sentiasa bersikap terbuka terhadap perkara baharu termasuk membuat persiapan rapi untuk belajar dengan menggunakan kaedah baharu. - UPM

 

Date of Input: 14/01/2021 | Updated: 14/01/2021 | hairul_nizam

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BXEUFAE~