Raja Muda Selangor Sempurnakan Sambutan Sedekad Muzium Warisan Melayu | Universiti Putra Malaysia
» NEWS » Raja Muda Selangor sempurnakan sambutan sedekad Muzium Warisan Melayu

Raja Muda Selangor sempurnakan sambutan sedekad Muzium Warisan Melayu

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari 
Foto: Noor Azreen Awang 
 
SERDANG, 21 Jun - Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj berkenan menyempurnakan sedekad penubuhan Muzium Warisan Melayu di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Universiti Putra Malaysia (UPM), hari ini.
 
Pada majlis ini DYTM Tuanku Raja Muda Selangor telah menurunkan tanda tangan pada plak sedekad penubuhan Muzium Warisan Melayu serta beramah mesra dengan pelajar UPM.
 
Naib Canselor UPM, Dato’ Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata penganjuran sambutan ini merupakan satu usaha yang baik oleh fakulti untuk mengekalkan khazanah Melayu untuk generasi akan datang.
 
 
“Warisan ini akan dipaparkan untuk generasi akan datang dan kita nak pastikan khazanah ini sentiasa terjaga buat masyarakat.
 
"Program sebegini dapat dijadikan landasan untuk menarik minat pelajar dan penyelidik baharu dalam memberikan sumbangan yang bererti dalam budaya, pendidikan, dan warisan Melayu,” katanya.
 
Terdahulu, muzium ini telah dirasmikan pada 8 April 2014 sebagai sebuah muzium di bawah pentadbiran universiti awam dengan tujuan sebagai rujukan bagi warisan dan ketamadunan bangsa Melayu.
 
 
Antara khazanah yang sering menjadi tarikan umum ialah empat buah rumah tradisional dari negeri Pahang, Negeri Sembilan, Perak dan Terengganu yang telah dipasang semula.
 
Turut dipamerkan di muzium ini ialah manuskrip, busana dan persenjataan Melayu sebagai usaha untuk memberi kefahaman tentang peristiwa sejarah, tradisi, dan kehidupan masyarakat pada masa lalu.
 
Dalam pada itu DYTM Tuanku Raja Muda Selangor turut berangkat ke Farm Fresh UPM. -UPM

Date of Input: 24/06/2024 | Updated: 24/06/2024 | ezzatyazhari

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BXJdGAc~