Ruslem Zikry Dan Nani Syahira Dinobat Olahragawan Dan Olahragawati UPM 2023 | Universiti Putra Malaysia
» NEWS » Ruslem Zikry dan Nani Syahira dinobat Olahragawan dan Olahragawati UPM 2023

Ruslem Zikry dan Nani Syahira dinobat Olahragawan dan Olahragawati UPM 2023

Oleh: Noor Eszereen Juferi
Foto Oleh: Mohammad Izrul Abdul Jabar

 

 

SERDANG, 24 Jun – Pelajar Bacelor Pendidikan (Pendidikan Jasmani), Fakulti Pengajian Pendidikan (FPP), Universiti Putra Malaysia (UPM), Ruslem Zikry Putra Roseli dinobatkan Olahragawan UPM 2023 pada Majlis Anugerah Sukan UPM Kali ke-38, Jumaat lalu.

 

 

Sementara itu, pelajar Bacelor Pentadbiran Perniagaan dengan Kepujian, Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE), UPM, Nani Sahirah Maryata dinobatkan Olahragawati UPM 2023.

 

 

Kedua-dua atlet terbabit membawa pulang piala pusingan, piala iringan, sebentuk jam tangan dan wang tunai bernilai RM 3,000.00 di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), UPM.

 

 Ruslem Zikry Putra, 24, berkata anugerah tersebut adalah pemangkin semangat untuk terus maju dalam sukan olahraga.

 

“Harapan saya untuk terus mencipta kecemerlangan walaupun perlu mengharungi pelbagai cabaran sebagai seorang atlet dan pelajar, sokongan oleh keluarga menguatkan semangat saya untuk mengapai impian saya,” katanya.

 

Antara pencapaian tertinggi Ruslem Zikry ialah meraih pingat emas dan pingat perak dalam Kejohanan Singaporean Open Championships di Sports Hub, Singapura bagi acara 4x400 meter dan 400 meter berpagar serta melayakkan diri ke peringkat akhir bagi acara 4x400 meter di FISU World University Games, Chengdu dan acara 400 meter berpagar di Sea Games, Cambodia.

 

Sementara itu, Nani Sahirah, 23, melahirkan rasa bersyukur dengan penganugerahan Olahragawati UPM 2023.

 

“Saya sebenarnya tidak menjangkakan untuk menerima anugerah ini kerana berdepan kerana pencalonan atlet yang lain mempunyai kekuatan tersendiri. Anugerah ini adalah motivasi untuk persediaan saya di ASEAN University Games (AUG) pada 25 Jun ini,” katanya.

 

Nani Sahirah menerima anugerah itu atas pencapaiannya yang mengharumkan nama universiti dan Malaysia selepas berjaya mencipta Rekod Baharu Kebangsaan di Kejohanan Open Perak 2023. Beliau juga berjaya meraih pingat emas dalam Kejohanan Philippines Track & Field Open 2023 dan pingat Gangsa di Sea Games, Cambodia.

 

Selain itu, Anugerah Bintang Harapan Lelaki dirangkul oleh atlet ragbi negara, Adeen Imann Mat Baharuddin dan Anugerah Bintang Harapan Wanita disandang oleh atlet memanah, Nur Ain Ayuni Fozi atas kecemerlangan di sukan masing-masing.

 

Penyampaian anugerah kepada 182 atlet pada Majlis Anugerah Sukan UPM ke-38 disempurnakan oleh Naib Canselor UPM, Dato’ Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah.

 

Majlis ini diadakan bertujuan menghargai jasa atlet UPM yang telah mengharumkan nama universiti di dalam negara mahupun peringkat antarabangsa pada tahun 2023 dan bagi mengiktiraf pencapaian atlet yang telah berusaha untuk mencapai kejayaan dalam sukan yang mereka ceburi.

Date of Input: 24/06/2024 | Updated: 24/06/2024 | hairul_nizam

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BXJdGAq~