Tekad Dan Minat Dalam Pertanian Yang Menjadi Rezeki Di UPM - Firdaus Kardi | Universiti Putra Malaysia
» NEWS » Tekad dan minat dalam pertanian yang menjadi rezeki di UPM - Firdaus Kardi

Tekad dan minat dalam pertanian yang menjadi rezeki di UPM - Firdaus Kardi

 

Oleh: Noor Eszereen Juferi

Foto Oleh: Muhammad Najman Saleh 

SERDANG, 28 Mac – Di sebalik 34 tahun khidmatnya sebagai Penolong Pegawai Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM), Firdaus Kardi, 60, beliau tidak menjangkakan  minat dan tekadnya dalam bidang pertanian  membawa tuah untuk berkhidmat di universiti ini.

 

Anak jati Kampung Olak Lempit, Banting ini sememangnya tidak asing dengan dunia pertanian. Sejak kecil, beliau telah bergelumang dengan kerja-kerja ladang seperti tanaman kelapa sawit, kopi dan menoreh getah.

 

Firdaus juga berpandangan pertanian bukan sekadar pekerjaan malah ia adalah kehidupan.

 

“Setiap hari kita perlu makan dan makanan itu datangnya dari pertanian. Pertanian adalah perniagaan dan ia asas kepada keselamatan makanan negara,” katanya

 

Minat dan tekad membawa beliau menyambung pengajian dalam bidang Diploma Pertanian di UPM pada tahun 1984 hingga 1987. Selepas tamat pengajian, beliau mula bertugas sebagai Pembantu Penyelidik di Fakulti Pertanian (1988–1990) sebelum dilantik secara tetap sebagai Penolong Pegawai Pertanian pada tahun 1990.

 

“Ketika itu, saya ditempatkan di Ladang Kongsi Latihan Pelajar dan melatih pelajar mengurus ladang tanaman kontan, sayur-sayuran, ternakan ayam dan ikan yang semuanya merupakan asas pertanian,” katanya.

 

Firdaus bangga apabila bekas pelajarnya kini memegang jawatan penting termasuk sebagai Pengarah negeri di agensi-agensi pertanian.

 

“Masih ada antara mereka yang menghubungi saya untuk rujuk hal-hal berkaitan pertanian. Ini menunjukkan asas yang mereka pelajari masih relevan dan menjadi landasan untuk memahami perkembangan teknologi semasa,” ujarnya.

 

Beliau turut menyaksikan transformasi universiti apabila nama Universiti Pertanian Malaysia ditukar kepada Universiti Putra Malaysia pada 1997. Pada tahun yang sama, beliau ditukarkan ke Jabatan Kejuruteraan dan Proses Makanan, Fakulti Kejuruteraan dan menimba pengalaman dalam proses serta penggunaan mesin industri makanan.

Kemudiannya, pada Tahun 2002 beliau kembali semula ke dunia ladang iaitu ke Taman Pertanian Universiti (kini Pusat Pertanian Putra) dan mengurus aktiviti di Bukit Ekspo selama hampir satu dekad.

 

Antara memori yang beliau tidak melupakan yang menjadi kenangan manis sepanjang hayatnya apabila terlibat dalam Istiadat Memetik 7 Jenis Bunga Wangian dari UPM sempena Istiadat Bersiram Tabal Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor pada 5 Mac 2003.

 

Kenangan beliau di UPM bukan itu sahaja, malah di sinilah beliau bertemu jodoh bersama isterinya, Tuty Taib, 52, dan kemudiannya mendirikan rumah tangga pada tahun 1997.

 

Firdaus kemudiannya bertugas di Unit Buah-buahan terlibat secara langsung menanam durian sejak 2008 di Ladang Germplasma Durian UPM.

 

“Penjagaan pokok durian sangat teknikal sebenarnya kerana penjagaan pokok ini bukan hanya tanam dan tunggu hasil. Kita perlu beri perhatian pada pembajaan awal, semburan baja foliar,dan kawalan perosak serta penyakit. Teknik penyemburan bajaan juga memainkan peranan dalam memastikan ketahanan pokok durian,” katanya

 

Beliau juga berkata, pokok durian di UPM merupakan pokok-pokok  warisan bahagian ladang terdahulu dan apabila dijaga rapi hasilnya akan memuaskan, dapat menghasilkan buah yang besar, rasa lekat dan isi padat.

 

“Di UPM kini mempunyai sekitar 460 pokok durian, termasuk 100 pokok muda dengan baka-baka klasik seperti D2, D7, D10, D24, D123 dan D190 dan antara yang menjadi kegemaran adalah durian Kajang (D2, D7 dan D10) yang dikenali kerana rasanya yang manis dan teksturnya yang lemak likat,” katanya.

 

Apabila ditanya mengenai sambutan Aidilfitri, Firdaus teruja akan beraya di Bangi sebelum pulang ke Melaka menziarahi keluarga isterinya dan seterusnya ke Banting.

 

“Antara juadah Raya dinantikan oleh saya adalah ayam ungkep dan tumis kacang panjang yang menjadi hidangan wajib di pagi raya,” katanya.

 

Beliau berharap agar aktiviti ladang di UPM terus dikekalkan dan diperkasakan dijadikan sebagai tempat latihan utama pelajar dalam mencungkil bakat dalam bidang pertanian.

 

“Saya bersyukur dan berasa bertuah mendapat peluang dan ilmu pertanian oleh tokoh seperti Allahyarham Cikgu Rashid dan Allahyarham Tan Sri Dato' Dr. Mohd. Noor Ismail yang banyak berjasa membuka ladang UPM.

 

“Di ladang pelajar bukan sekadar membina projek tetapi sebenarnya mereka membina sahsiah, memahami makhluk hidup yang tidak bercakap, tetapi perlu difahami. Itulah kekuatan pertanian membentuk insan dan menyumbang kepada negara,” katanya.

 

 

Date of Input: 28/03/2025 | Updated: 28/03/2025 | eszereen

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BYECEAw~