Tuanku Canselor UPM Serah Sumbangan Aidilfitri Kepada Pelajar Dan Staf Asnaf UPM | Universiti Putra Malaysia
» NEWS » Tuanku Canselor UPM serah sumbangan Aidilfitri kepada pelajar dan staf asnaf UPM

Tuanku Canselor UPM serah sumbangan Aidilfitri kepada pelajar dan staf asnaf UPM

 

Oleh: Noor Eszereen Juferi

Foto Oleh: Muhammad Najman Saleh dan Mohammad Izrul Abdul Jabar

 

 

SERDANG, 19 Mac - Tuanku Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Sultan Sharafuddin Idris Shah, berkenan menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada 45 penerima terdiri daripada anak yatim, muallaf, Orang Kurang Upaya (OKU) dan asnaf pelajar dan staf UPM.

 

Baginda berkenan menyampaikan sumbangan itu sempena Majlis Berbuka Puasa dan Solat Tarawih bersama kira-kira 1,000 warga UPM dan komuniti sekitar di Masjid UPM. Turut berangkat ialah Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga Pro Canselor UPM.

 

Dalam majlis itu, baginda turut berkenan menerima sumbangan Wakaf Ilmu UPM daripada orang perseorangan, rakan korporat UPM dan juga staf serta pelajar universiti berjumlah RM 1,085,246.03.

 

Wakaf Ilmu UPM diwujudkan sejak tahun 2012 bagi memenuhi keperluan dan pembiayaan aktiviti akademik, bantuan kewangan, penyelidikan, pembangunan fasiliti serta penajaan bagi warga UPM.

 

Sultan Sharafuddin kemudiannya berkenaan menerima Dana Zakat berjumlah RM8,169,673.67 yang dipersembahkan oleh Naib Canselor UPM, Dato’ Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, mana kala Projek Dana Wakaf Ilmu UPM yang berjumlah RM1,085,246.03 dipersembahkan oleh Pendaftar UPM, Muhazam Mansor.

 

Baginda berkenan menerima zakat perniagaan berjumlah RM411,627.73 daripada UPM Holdings Sdn Bhd, Koperasi UPM Bhd dan PLUS Malaysia Berhad.

 

Baginda juga berkenan menerima Sumbangan Zakat Pelajar melalui Program Iqra’ TH IPTA 2024 berjumlah RM800,000.00 daripada Tabung Haji yang dipersembahkan oleh Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji, Datuk Syed Hamadah Syed Othman.

 

Selain itu, UPM turut menerima sumbangan Zakat Wakalah daripada Bank Islam berjumlah RM30,000, Takaful Ikhlas berjumlah RM15,000 serta RM10,000 dana infak khusus kepada pelajar UPM daripada Badan Kebajikan Mutiara Putrajaya.

 

Baginda turut berkenan berbuka puasa, menunaikan solat Maghrib, Isyak dan solat sunat Tarawih bersama warga UPM dan komuniti sekitar di Masjid UPM.

Date of Input: 20/03/2025 | Updated: 20/03/2025 | eszereen

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BYDUTAx~