UPM Usaha Tingkat Kualiti Industri Laut Tempatan Melalui Teknologi HPP | Universiti Putra Malaysia
» NEWS » UPM usaha tingkat kualiti industri laut tempatan melalui teknologi HPP

UPM usaha tingkat kualiti industri laut tempatan melalui teknologi HPP

Oleh: Ameesya Aghniya Ab Rahim

 

 

 

 

SERDANG, 14 Mac - Universiti Putra Malaysia (UPM) melalui Jabatan Teknologi Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan telah mengadakan program Bengkel Pemprosesan Hasilan Laut Menggunakan Teknologi Bertekanan Tinggi (HPP) bagi meningkatkan kualiti dan keselamatan makanan dalam industri hasil laut, baru-baru ini.



Program yang diadakan ini bertujuan untuk memberi pendedahan mengenai manfaat teknologi pemprosesan tekanan tinggi (HPP) kepada komuniti pengusaha hasil laut tempatan, iaitu pengusaha tiram dari Muar bagi menghasilkan produk yang lebih berkualiti dan tahan lama.



 

 

 

Pakar pemprosesan makanan, Prof Madya Dr Noranizan Mohd Adzahan berkata peserta yang terlibat diberi panduan secara praktikal terhadap aspek kebersihan, keselamatan dan kecekapan dalam penggunaan teknologi HPP dengan menggunakan pelbagai jenis hasil laut sebagai sampel.

 

“Mereka diberi peluang untuk merasai sendiri hasil makanan laut yang telah diproses menggunakan teknologi HPP serta memberikan maklum balas terhadap penggunaan teknologi ini dalam usaha meningkatkan kualiti hasil laut mereka. 

 

“Program ini juga memberi peluang kepada peserta untuk mempelajari teknik-teknik pemprosesan moden serta meningkatkan kemahiran mereka dalam mengendalikan teknologi HPP,” katanya.

 

Pengusaha tiram di Muar, Zaidi Mohd Nor, 58, berkata, melalui program ini saya mempelajari cara bagaimana untuk meningkatkan jangka hayat penghasilan produk dengan menggunakan proses teknologi HPP.

 

“Perbezaan yang saya lihat ialah tempoh jangka hayat produk dari seminggu mampu dilanjutkan ke tempoh dua hingga tiga bulan dan ini amatlah baik untuk pengusaha produk hasil laut kerana membantu kami dalam meningkatkan hasil pengeluaran,” ujarnya.

Menurut pandangan pengurus Langkawi Oyster Farm, Mohd Fakarudin Ibrahim, 40, menyifatkan bahawa dengan ada teknologi HPP ini bantu meningkatkan tempoh jangka hayat produk hasil laut kerana membunuh mikroba serta teknologi ini tidak merosakkan kandungan zat di dalam makanan.

 

Turut hadir, pakar penyelidik daripada Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) serta UPM iaitu Dr. Alifdalino.

 

 

 

Dalam pada itu, ini merupakan satu usaha yang seiring dengan matlamat Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam ‘Merakyatkan Sains, Menginsankan Teknologi Dan Mengarusperdanakan Inovasi’.

Date of Input: 14/03/2025 | Updated: 14/03/2025 | aghniya

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BYDPBAU~