UPMKB, BDA Optimis Tangani Isu Pengurusan Sisa Makanan | Universiti Putra Malaysia
» NEWS » UPMKB, BDA optimis tangani isu pengurusan sisa makanan

UPMKB, BDA optimis tangani isu pengurusan sisa makanan

Oleh: Noor Eszereen Juferi

Foto Oleh: Benedict Miden

 

BINTULU, 19 Februari – Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) dan Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) yakin kerjasama strategik dalam pengurusan sisa makanan mampu mencetuskan penyelesaian inovatif yang memberi manfaat kepada masyarakat dan alam sekitar.

 

Menerusi Program Towards Zero Food Waste yang diketuai oleh Ketua Laboratori Biodiversiti Borneo, Institut Ekosains Borneo (IEB), Dr. Keeren Sundara Rajoo, merupakan inisiatif antara BDA dan UPMKB untuk berkerjasama dengan pemegang taruh di Bintulu yang terlibat dengan penyediaan makanan.

 

Pengarah UPMKB, Prof. Dr. Shahrul Razid Sarbini, berkata inisiatif ini merupakan langkah penting pertama dalam mengurangkan pembaziran makanan, menangani isu kebuluran, serta menetapkan penanda aras pengurusan sisa makanan yang lebih mampan di Malaysia.

 

“Usaha ini sejajar dengan Pelan Induk Sekuriti Makanan UPM yang menekankan amalan lestari, inovasi berasaskan penyelidikan serta penglibatan komuniti dalam memastikan bekalan makanan yang stabil dan berdaya tahan,” katanya.

 

Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada BDA atas kepercayaan yang diberikan kepada UPMKB bagi melaksanakan projek ini.

 

“Adalah satu penghormatan untuk bekerjasama dengan BDA, sebuah organisasi yang berkongsi visi kami dalam membina masa depan lestari untuk Bintulu dan Sarawak. Saya yakin kerjasama ini akan terus berkembang, mengukuhkan komitmen terhadap penyelesaian inovatif dan kesejahteraan komuniti,” katanya.

 

Timbalan Pengerusi BDA, Dato’ Haidar Khan Asghar Khan, berkata kajian kebolehlaksanaan ini adalah fasa pertama dalam usaha mencari penyelesaian mampan bagi pengurusan sisa makanan.

 

“Kita sedang merealisasikan idea dan strategi, jadi harapan saya agar projek ini berjaya direalisasikan serta diteruskan dalam jangka masa panjang untuk menjadi contoh terbaik kepada komuniti lain di seluruh Malaysia,” katanya.

 

“Harapan saya ini akan menjadi titik permulaan untuk berkongsi idea, menyokong satu sama lain, dan bekerjasama mencipta masa depan yang lebih baik demi kestabilan dan kesejahteraan alam sekitar,” tambah beliau.

 

Selain itu, kerjasama antara UPMKB dan BDA ini menandakan satu langkah proaktif dalam membentuk persekitaran lebih mampan dan menggalakkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan pengurusan sisa makanan yang lebih cekap.

 

Pengusaha Environment Metal Engineering, Jordan Lau Hsien Loong berkata sebagai alumni UPMKB inisiatif ini disifatkan sebagai langkah pertama ke arah kelestarian dalam mengurangkan pembaziran makanan di Bintulu.

 

“Inisiatif ini bukan sahaja dapat mengurangkan sisa makanan tetapi juga membantu menangani perubahan iklim dan pembaziran makanan merupakan salah satu penyumbang kepada perubahan iklim,” katanya.

 

Sales & Marketing Executive Park City Everly Hotel, Florence Menun Nyalang, berkata inisiatif ini selari dengan amalan semasa industri perhotelan dalam mengurangkan pembaziran makanan.

 

“Di hotel, kami juga telah mulakan dengan mengasingkan sisa makanan buffet ke dalam tong pengkomposan bagi makanan yang boleh dikitar semula. Tetapi buat masa ini, kami masih belum mempunyai sistem khas atau syarikat yang menguruskan sisa makanan tersebut dan ketiadaan gudang untuk melakukan proses pengkomposan menjadi cabaran utama,” katanya.

 

Date of Input: 20/02/2025 | Updated: 20/02/2025 | eszereen

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BYCWFAb~