Article Summary
Sambutan Hari Raya Aidiladha bukan sekadar ritual penyembelihan haiwan korban, tetapi merupakan lambang pengorbanan sejati yang mengangkat nilai kemanusiaan, empati, dan keikhlasan sebagai tunjang utama kehidupan bermasyarakat.
Sambutan Hari Raya Aidiladha bukan sekadar ritual penyembelihan haiwan korban, tetapi merupakan lambang pengorbanan sejati yang mengangkat nilai kemanusiaan, empati, dan keikhlasan sebagai tunjang utama kehidupan bermasyarakat.
Pengarah Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN), Haris Dahlan, menegaskan bahawa pengorbanan yang lahir dari hati ikhlas tidak hanya berkisar pada harta benda, malah ia mencerminkan kekuatan rohani serta kesedaran sosial dalam memahami keperluan orang lain.
“Memberi tanpa mengharapkan balasan, berdasarkan rasa empati dan keimanan yang mendalam, merupakan bentuk pengorbanan tertinggi. Ia bukan soal berapa banyak yang diberi, tetapi keberkatan dan impak jangka panjang yang dirasai oleh penerima,” ujarnya.
Beliau turut berkongsi kisah menyentuh hati tentang seorang pelajar yang hampir berputus asa akibat kesempitan hidup. Bantuan zakat yang diterima bukan sahaja menyelamatkan pengajiannya, malah menjadi titik tolak kepada pelajar tersebut untuk membalas budi kepada keluarganya.
“Pengorbanan itu datang dari dua pihak: pemberi dan penerima dan inilah yang menghidupkan semangat Aidiladha,” tambahnya.
Pensyarah Fakulti Ekologi Manusia, Dr. Mohammad Nidzam Abdul Kadir, berkata kisah pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS wajar menjadi sumber inspirasi: kepatuhan, keberanian, dan keikhlasan melepaskan sesuatu demi keredaan Allah SWT.
“Aidiladha adalah masa terbaik untuk mendidik jiwa muda agar memahami erti perjuangan dan nilai memberi,” katanya.
Namun, menurut beliau, ibadah korban kini semakin dianggap sebagai urusan transaksi semata-mata, bayar, terima daging sehingga hilang nilai kemanusiaan dan semangat kerjasama dalam masyarakat.
“Kita kehilangan nilai ta’aruf, silaturrahim, dan perpaduan umat apabila ibadah korban dipisahkan daripada maksud sosialnya. Masjid dan surau perlu melibatkan anak muda secara aktif, bukan sekadar menjadi penonton,” katanya.
Aidiladha sewajarnya menjadi momen refleksi kepada kita semua bahawa setiap pengorbanan yang dilakukan dengan penuh keikhlasan meninggalkan kesan mendalam, bukan sahaja kepada individu, tetapi kepada masyarakat secara keseluruhan.
Date of Input: 06/06/2025 | Updated: 06/06/2025 | hairul_nizam
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA