BDR Uji Integriti Dan Disiplin Penjawat Awam | Universiti Putra Malaysia 99 spel
» ARTICLE » BDR uji integriti dan disiplin penjawat awam

BDR uji integriti dan disiplin penjawat awam

Article Summary
Pelaksanaan Bekerja Dari Rumah (BDR) yang diperluaskan susulan konflik Asia Barat dan berkuat kuasa mulai 15 April lalu bukan sahaja mengubah landskap pekerjaan sektor awam, malah menjadi ujian terhadap tahap integriti serta disiplin penjawat awam.


 

Oleh: Noor Eszereen Juferi

 

Pelaksanaan Bekerja Dari Rumah (BDR) yang diperluaskan susulan konflik Asia Barat dan berkuat kuasa mulai 15 April lalu bukan sahaja mengubah landskap pekerjaan sektor awam, malah menjadi ujian terhadap tahap integriti serta disiplin penjawat awam.

 

Pendekatan kerja fleksibel yang mula diperkenalkan secara meluas ketika pandemik COVID-19 kini semakin diterima sebagai sebahagian daripada budaya kerja moden termasuk di Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

 

Apa yang pada awalnya dilihat sebagai langkah sementara bagi memastikan kelangsungan operasi organisasi, kini berkembang menjadi antara pendekatan kerja yang semakin diterima dalam ekosistem pekerjaan moden.

 

Namun begitu, di sebalik fleksibiliti dan kemudahan yang ditawarkan BDR sebenarnya menguji satu perkara yang lebih besar, iaitu nilai integriti dalam kalangan penjawat awam.

 

Presiden Persatuan Pentadbir UPM, Fahmi Azar Mistar berkata, BDR bukan sekadar soal bekerja di luar pejabat, tetapi berkait rapat dengan amanah, disiplin dan nilai yang dipegang oleh seseorang pekerja.

 

“Ketika bekerja secara fizikal di pejabat pemantauan dapat dilakukan secara terus melalui kehadiran dan interaksi harian. Dalam situasi BDR elemen kepercayaan menjadi asas utama bagi memastikan tugas tetap dilaksanakan dengan baik.

 

“BDR sebenarnya menguji integriti penjawat awam dan apabila bekerja dari rumah tiada pemantauan fizikal seperti di pejabat. Jadi, nilai dan tanggungjawab individu menjadi faktor utama,” katanya.

 

Tambah beliau, walaupun terdapat persepsi negatif bahawa bekerja dari rumah seolah-olah ‘cuti’, hakikat sebenar menunjukkan staf universiti tetap melaksanakan tugas seperti biasa, malah ada yang lebih produktif.

 

“Persoalannya bukan sama ada staf berada di pejabat atau di rumah tetapi sama ada kerja itu dapat diselesaikan dengan baik dan mencapai sasaran yang ditetapkan,” katanya.

Fahmi Azar berkata, pengalaman semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah membuktikan ramai staf mampu menyesuaikan diri dengan norma kerja baharu tanpa menjejaskan operasi organisasi.

 

“Perkembangan teknologi dan pendigitalan telah membantu memperkukuh keberkesanan pelaksanaan BDR. Medium komunikasi seperti WhatsApp, sistem dalam talian dan mesyuarat maya memudahkan urusan kerja serta penyampaian maklumat secara lebih pantas,” katanya.

 

Sementara itu, Presiden Kesatuan Kakitangan Am UPM (KEPERTAMA), Norsyahriman Md Arif, berkata pelaksanaan BDR perlu dilaksanakan berdasarkan kesesuaian jawatan serta keperluan organisasi.

 

Katanya, tidak semua tugas sesuai dilaksanakan sepenuhnya secara fleksibel kerana terdapat fungsi kerja yang memerlukan kehadiran fizikal dan interaksi secara langsung di tempat kerja.

 

“Ketua jabatan perlu menilai kesesuaian berdasarkan fungsi kerja dan keperluan organisasi. Ada tugasan yang boleh dilakukan dari rumah dan ada juga yang memerlukan kehadiran di pejabat,” katanya.

 

Beliau turut menegaskan aspek pemantauan seharusnya berasaskan hasil kerja dan pencapaian output, bukan semata-mata kehadiran fizikal.

 

“Jika kerja dapat disiapkan mengikut sasaran dan kualiti ditetapkan, itu menunjukkan produktiviti tetap dapat dikekalkan walaupun bekerja secara fleksibel,” katanya.

 

Dalam pada itu, Norsyahriman mengakui pelaksanaan BDR masih berdepan beberapa cabaran termasuk isu capaian internet, kemudahan teknologi serta persepsi sebahagian pihak terhadap keberkesanan sistem berkenaan.

 

“Saya percaya budaya kerja baharu memerlukan perubahan minda dalam kalangan pengurusan dan staf supaya lebih terbuka terhadap pendekatan kerja fleksibel.

 

“Apa yang paling penting integriti perlu menjadi asas utama bagi memastikan pelaksanaan BDR berjaya dan tidak disalahgunakan,” katanya.

 

Date of Input: 11/05/2026 | Updated: 11/05/2026 | eszereen

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BZFLSAu~