Article Summary
Cuaca panas yang melanda Malaysia pada masa kini bukan sahaja memberi kesan kepada alam sekitar, malah dikenal pasti sebagai faktor yang berpotensi menjejaskan kesihatan mental rakyat.
Oleh: Noor Eszereen Juferi

SERDANG, 30 Mac – Cuaca panas yang melanda Malaysia pada masa kini bukan sahaja memberi kesan kepada alam sekitar, malah dikenal pasti sebagai faktor yang berpotensi menjejaskan kesihatan mental rakyat.
Di negara beriklim panas dan lembap seperti Malaysia, peningkatan suhu termasuk ketika gelombang haba menyebabkan tubuh dan minda “bekerja lebih” untuk menyesuaikan diri. Keadaan ini boleh mencetuskan keletihan, gangguan tidur serta perubahan emosi yang ketara dalam kalangan individu.
Pakar Psikologi Klinikal, Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Firdaus Mukhtar, berkata suhu tinggi boleh menyumbang kepada perubahan emosi seperti mudah marah, cepat letih, kurang fokus dan rasa tidak selesa yang berpanjangan.
“Dalam keadaan panas melampau, badan sebenarnya berada dalam ‘stress mode’. Ini menyebabkan individu lebih sensitif, malah dalam sesetengah kes boleh meningkatkan tingkah laku agresif dan impulsif,” katanya.

Tambah beliau, keadaan menjadi lebih membimbangkan apabila majoriti rakyat Malaysia dilaporkan tidak mengambil air mencukupi iaitu sekitar lapan gelas sehari.
“Kekurangan air dalam badan atau dehidrasi bukan sahaja menjejaskan kesihatan fizikal, malah memberi kesan langsung kepada fungsi otak. Dehidrasi boleh mengganggu keseimbangan elektrolit, menurunkan tahap tenaga serta menjejaskan keupayaan fokus dan kawalan emosi,” katanya.
Tambah beliau beliau, apabila badan tidak cukup hidrasi dan berada dalam keadaan letih, fungsi otak turut terjejas, sekali gus mempengaruhi kestabilan emosi seseorang.
“Walaupun cuaca panas bukan punca utama masalah kesihatan mental boleh menjadi faktor pencetus kepada individu yang sudah berisiko. Kajian antarabangsa di Australia dan Vietnam menunjukkan peningkatan sehingga 9.7 peratus kemasukan pesakit psikiatri ke hospital apabila suhu melebihi 35 darjah Celsius selama lebih tiga hari,” katanya.
Prof. Dr. Firdaus berkata, dari sudut psikologi dan biologi ketidakselesaan akibat haba menyebabkan otak lebih mudah mencetuskan emosi negatif seperti marah dan gelisah.
“Keletihan fizikal serta gangguan tidur mengurangkan keupayaan seseorang mengawal emosi dengan baik. Fenomena yang boleh dianggap sebagai tekanan fisiologi berterusan ini menyebabkan kestabilan emosi turut terjejas apabila badan sentiasa berusaha menyesuaikan diri dengan suhu tinggi,” katanya.

Selain itu, golongan seperti kanak-kanak, warga emas, individu dengan penyakit fizikal atau mental sedia ada mereka yang tidak mempunyai akses kepada persekitaran sejuk namun Porf. Dr. Firdaus berkata, pekerja luar seperti buruh dan penghantar makanan serta individu yang berdepan tekanan kerja atau tanggungjawab keluarga yang tinggi dikenal pasti lebih terdedah kepada kesan tersebut.
“Selain tekanan fizikal kumpulan ini turut berdepan beban emosi yang lebih besar ketika cuaca panas,” katanya.
Beliau turut memberi saranan agar masyarakat mengambil langkah proaktif bagi mengurangkan kesan cuaca panas terhadap kesihatan mental antaranya pastikan pengambilan air mencukupi walaupun tidak berasa haus, mengurangkan pendedahan kepada haba dengan berada di tempat teduh, mendapatkan rehat dan tidur yang mencukupi serta menyesuaikan aktiviti harian agar tidak dilakukan ketika cuaca terlalu panas.
“Pemakaian yang sesuai dengan cuaca, perancangan awal sebelum keluar rumah serta kepekaan terhadap keadaan emosi sendiri juga penting. Individu yang berasa cepat marah atau tertekan disarankan mengambil masa untuk bertenang dan mendapatkan bantuan profesional sekiranya diperlukan,” katanya.

Dalam pada itu, Prof. Dr. Firdaus berkata pihak sekolah dan majikan digalakkan menyesuaikan waktu aktiviti luar bagi mengelakkan pendedahan berlebihan kepada suhu tinggi, khususnya dalam kalangan pelajar dan pekerja yang terdedah kepada persekitaran terbuka.
“Cuaca yang tidak menentu juga dikenal pasti boleh menjejaskan kestabilan emosi kerana boleh mengganggu rutin harian serta perancangan individu serta kesedaran mengenai hubungan antara perubahan cuaca dan kesihatan mental perlu dipertingkatkan agar masyarakat lebih bersedia menghadapi cabaran perubahan iklim yang semakin ketara,” katanya.
Date of Input: 31/03/2026 | Updated: 31/03/2026 | hairul_nizam

43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA