Mitos: Vasektomi Sebabkan Lelaki Mandul Selamanya? | Universiti Putra Malaysia
» ARTICLE » Mitos: Vasektomi sebabkan lelaki mandul selamanya?

Mitos: Vasektomi sebabkan lelaki mandul selamanya?

Article Summary
Berdasarkan portal rasmi MyHEALTH Kementerian Kesihatan Malaysia, merancang keluarga melibatkan penentuan waktu yang sesuai untuk mempunyai anak, menetapkan jarak antara kehamilan, dan menentukan bilangan anak yang diinginkan oleh pasangan.


Oleh: Sharifah Hannah Adibah Wan Serail
Pelajar Bacelor Sastera (Bahasa dan Linguistik Melayu) dengan Kepujian
Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK)
Universiti Putra Malaysia (UPM)

 

 

Berdasarkan portal rasmi MyHEALTH Kementerian Kesihatan Malaysia, merancang keluarga melibatkan penentuan waktu yang sesuai untuk mempunyai anak, menetapkan jarak antara kehamilan, dan menentukan bilangan anak yang diinginkan oleh pasangan.

 

Perjuangan kaum wanita sebagai isteri, dan pada masa yang sama sebagai ibu, sangat luar biasa dalam bertarung nyawa melahirkan dan membesarkan anak-anak. Tidak hanya itu, kaum wanita turut berkontribusi dalam perancangan keluarga.

 

Apabila membahaskan tentang perancangan keluarga, tumpuan lebih menjurus kepada peranan yang dimainkan oleh kaum wanita dari pelbagai aspek seperti pemahaman kitaran haid, pemandulan wanita menggunakan kontraseptif (alat, pil atau kaedah pencegah kehamilan), pemasangan implan, serta kesannya terhadap kesihatan dan kebajikan keluarga.

 

Disebabkan majoriti kaum wanita (isteri) yang akan melakukan kawalan kehamilan, hal ini dilihat berat sebelah kerana sedikit mengabaikan peranan dan sumbangan kaum lelaki (suami) dalam konteks perancangan keluarga.

 

Lelaki sebagai ketua keluarga juga sebenarnya memainkan peranan penting dan boleh ‘berkorban’ dengan memberikan sumbangan dalam perancangan keluarga, di mana antara kaedah yang mudah, selamat dan efektif ialah vasektomi, iaitu kaedah pemandulan lelaki yang kurang popular di Malaysia.

 

Pakar Bedah Klinikal Urologi, Jabatan Urologi, Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Aizat Sabri Ilias berkata, vasektomi merujuk pembedahan kecil yang dilalui oleh lelaki pada peringkat umur 33 hingga 44 tahun untuk mencegah kehamilan, dan ia melibatkan proses memotong saluran sperma dalam alat kelamin lelaki untuk menghalang persenyawaan sperma semasa ejakulasi.

 

Rata-rata memilih vasektomi kerana vasektomi melibatkan prosedur ringkas, di samping membantu mengurangkan beban isteri untuk mengambil kaedah kontrasepsi yang berisiko kepada kesihatan pada masa hadapan, dan kehamilan yang dikhuatiri boleh membahayakan kesihatan.

 

Menurut Dr. Aizat Sabri, vasektomi tidak akan memberikan kesan terhadap kehidupan seksual pasangan mahupun mengakibatkan lelaki yang menjalaninya mati pucuk, tetapi vasektomi bersifat hampir kekal atau permanen, dan lelaki yang melakukannya berkemungkinan besar tidak akan dapat memiliki keturunan lagi.

 

Namun begitu, sekiranya pasangan memutuskan untuk memiliki anak lagi setelah menjalani vasektomi, lelaki boleh menjalani pembedahan mikrosurgeri yang dikenali sebagai “vasectomy reversal”, iaitu pembedahan pembalikan vasektomi yang melibatkan proses menyambung kembali saluran sperma yang telah dipotong kembali kepada keadaan asal.

 

Tambah Dr. Aizat Sabri, peratus kejayaan pembedahan mikrosurgeri tersebut boleh mencapai kadar 50 peratus hingga 70 peratus. Bagaimanapun, peratus kejayaan akan menurun jika berdurasi panjang antara vasektomi dan keputusan pembedahan mikrosurgeri.  

 

Bagi kaum lelaki yang ingin melakukan vasektomi, risikonya perlu diketahui.  Antaranya ialah sifat vasektomi yang hampir kekal, jangkitan kuman di kawasan pembedahan dan epidermis, sindrom kesakitan selepas vasektomi (post-vasectomy pain syndrome) dan kegagalan vasektomi (vasectomy failure).

 

Vasektomi menurut pandangan Islam

Ketua Pegawai Hal Ehwal Islam, Pusat Islam, UPM, Ustaz Alzasha Illiyyin Zainal Alam menjelaskan bahawa vasektomi boleh dikatakan salah satu kaedah moden yang tidak wujud pada masa lalu, maka kaedah ini secara spesifik tidak pernah dibincangkan hukumnya oleh para ulama silam.

 

Tambah beliau, meskipun ulama silam tidak pernah membahaskan isu vasektomi secara spesifik, namun para ulama telah membincangkan prinsip-prinsip umum tentang ‘tahdid al-nasl’ (membataskan anak keturunan), ‘tanzim al-nasl’ (perancangan anak keturunan), hukum pemandulan dan seumpamanya yang boleh dirumuskan seperti berikut:

 

‘Tahdid al-nasl’ (Membataskan anak keturunan)

Sebahagian besar para ulama tidak membenarkan ‘tahdid al-nasl’ (membataskan anak keturunan) berdasarkan dalil-dalil umum yang boleh difahami seperti firman Allah s.w.t yang bermaksud:

 

“Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana kepapaan, (sebenarnya Kamilah yang memberi rezki kepada kamu dan kepada mereka.”

(Surah al-An‘am 6:151)

 

Hal ini dianggap menyerupai amalan masyarakat Jahiliyyah yang membunuh anak-anak mereka kerana takutkan kemiskinan. Meskipun perbuatan membataskan anak itu tujuannya adalah untuk menghalang berlakunya kelahiran, namun tujuan tersebut adalah sama iaitu takut kepada kemiskinan dan kepapaan sepertimana yang terkandung dalam maksud ayat.

 

‘Tanzim al-Nasl’ (Perancangan anak keturunan)

Sebahagian ulama membezakan antara ‘tahdid al-nasl’ (membataskan anak keturunan) dan ‘tanzim al-Nasl’ (perancangan anak keturunan). Bagi mereka, perancangan anak keturunan ialah sesuatu yang diharuskan dan berbeza dengan membataskan keturunan.

 

Termasuk dalam perkara ini ialah kaedah-kaedah yang digunakan untuk menjarakkan anak seperti memakan ubatan pil perancang, melakukan persetubuhan pada waktu tidak subur, memakai kondom, melakukan azal (ejakulasi luar rahim), dan memasang peranti intrauterine (IUD) bagi tujuan pemandulan sementara dan seumpamanya.

 

Pemandulan

Secara prinsipnya, Islam mengharamkan pemandulan. Hal ini dapat difahami dari beberapa keterangan nas, antaranya larangan Nabi s.a.w. kepada sahabat untuk hidup membujang. Perbuatan memandulkan diri dengan sengaja boleh dianggap mengubah fitrah ciptaan Allah s.w.t. dan memudaratkan diri sendiri.

 

Beberapa Pandangan Fatwa Ulama di Peringkat Antarabangsa dan Kebangsaan

Berdasarkan prinsip-prinsip umum tersebut, maka para ulama dalam Persidangan Majma’ al-Fiqh al-Islami di Kuwait pada 1988 telah membuat beberapa ketetapan.

 

Yang pertama, haramnya menghilangkan kemampuan reproduksi daripada lelaki ataupun wanita, iaitu pemandulan. Pengecualian diberikan dalam kes-kes darurat yang perlu ditimbang dengan ukuran yang syarak.

 

Yang kedua, dibolehkan untuk mengawal secara sementara kemampuan reproduksi dengan tujuan menjarakkan antara tempoh kehamilan, atau menghentikan bagi tempoh tertentu, jika terdapat keperluan yang diambil kira oleh syarak berdasarkan persetujuan dan keredaan daripada perbincangan antara kedua pasangan yang sah, dengan syarat kaedah kawalan untuk tidak mendatangkan mudarat, berdasarkan kaedah yang tepat dengan syariat, dan tidak menzalimi kandungan yang sedia ada. (Majallah al-Majma’ Siri 4 (1/73))

 

Demikian juga kenyataan Syeikh Atiyyah melalui Dar al-Ifta’ al-Misriyyah pada tahun 1997 ketika mengeluarkan fatwa atas soalan hukum melakukan pemandulan bagi tujuan perancangan keluarga. Dibolehkan pemandulan atas alasan kesihatan atau selainnya bagi tempoh tertentu, dengan syarat kemampuan untuk reproduksi itu kekal dan boleh digunakan kembali apabila masa berlalu. Justeru, tidak boleh pemandulan itu dilakukan jika kesannya bersifat sempurna dan kekal sehingga hilang kemampuan dan fungsinya, melainkan wujudnya kemudaratan yang serius. (Fatawa Dar al-Ifta’ al-Misriyyah (47/10))

 

Demikian juga kita dapati Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-28 yang bersidang pada 29 Februari 1991 telah membincangkan Sistem Susuk Norplant dalam Program Perancang Keluarga Kebangsaan. Muzakarah telah memutuskan bahawa Sistem Susuk Norplant ini ialah harus digunakan. Penggunaan sistem ini hendaklah tertakluk kepada keputusan Muzakarah Kali Ke-12 pada 20 Januari 1977 yang memutuskan hukum mengenai Perancang Keluarga adalah seperti berikut:

  1. Memandul lelaki dan perempuan hukumnya adalah haram.
  2. Mencegah beranak atau menghadkan bilangan anak hukumnya adalah haram melainkan dengan sebab yang diharuskan oleh syarak bagi orang perseorangan.
  3. Menyusun keluarga dari kesihatan, pelajaran dan kebahagiaan keluarga dengan cara yang selain daripada (1) dan (2) di atas adalah harus.

(Kompilasi Pandangan Hukum Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam (ms. 138))

 

Oleh itu, vasektomi dibolehkan sekiranya terdapat faktor kesihatan yang termasuk dalam pertimbangan syarak, seperti disahkan oleh pakar bahawa boleh berlakunya penularan penyakit, kehamilan menggugat nyawa pasangan, serta kes-kes terkecuali lainnya yang bersifat darurat yang mempunyai pertimbangan ‘dhawabit’ (garis panduan) yang tersendiri.

Date of Input: 20/12/2023 | Updated: 20/12/2023 | hairul_nizam

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BXEcXA4~