Ringkasan Artikel
Kehidupan mahasiswa selalunya berkisar pada kuliah, tugasan dan aktiviti kampus. Namun, bagi pelajar Bacelor Sains Perniagaantani dengan Kepujian, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) Muhammad Hafidz Shahril Izwan, perjalanan hidupnya jauh berbeza.
Kehidupan mahasiswa selalunya berkisar pada kuliah, tugasan dan aktiviti kampus. Namun, bagi pelajar Bacelor Sains Perniagaantani dengan Kepujian, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) Muhammad Hafidz Shahril Izwan, perjalanan hidupnya jauh berbeza.
Pada usia 22 tahun, beliau bukan sekadar pelajar biasa. Hafidz juga seorang usahawan muda berjaya dengan empayar perniagaannya, VERTICO, yang sudah memiliki wisma sendiri di Seksyen 8, Bangi. Lebih membanggakan, syarikat yang bermula secara kecil-kecilan itu kini mencatat pendapatan mencecah RM3 juta dalam tempoh empat tahun.
Segalanya bermula pada tahun 2021, ketika negara berdepan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan. Ramai anak muda terkesan, namun beliau memilih untuk berusaha mencari peluang. Hafidz bermula dengan menjadi ejen menjual baju edisi kemerdekaan. Dari situ beliau belajar tentang keberanian, kesungguhan serta menerima penolakan.
“Saya nekad untuk mulakan perniagaan ini dan ada satu tahap demi mempertahankan perniagaan, saya sanggup gadaikan sembilan dinar emas bernilai lebih RM20,000. Bukan itu sahaja, saya juga pernah rugi sehingga RM40,000.
“Masa itu memang jatuh semangat, rasa gelap. Tapi saya terus cuba, belajar guna iklan berbayar di media sosial, dan alhamdulillah mula nampak jalan,” katanya.
Dengan hanya mesin cetakan kecil hasil daripada simpanan sendiri, Hafidz menawarkan perkhidmatan mencetak baju, lanyard, bunting dan medal. Pada awalnya pelanggan hanya dalam kalangan pelajar UPM, namun lama-kelamaan nama VERTICO semakin dikenali hingga berjaya menembusi pasaran luar kampus.
Perjalanan hidup beliau tidak pernah mudah. Beliau akui banyak kali hampir berputus asa kerana ada masanya perniagaan untung besar, ada ketika langsung tiada hasil.
“Ada masa tempahan sedikit, ada masa terpaksa berjaga malam siapkan kerja sambil esoknya ada kuliah. Tapi saya berpegang pada falsafah hidup saya iaitu buat dahulu, fikir kemudian.
“Kalau tunggu semua sempurna, kita takkan mula,” ujarnya.
Hari ini, hasil ketekunan dan keyakinannya, Hafidz menggaji lapan pekerja tetap, menguruskan sebuah wisma dan dalam masa yang sama masih meneruskan pengajian sebagai mahasiswa tahun akhir.
Usaha gigihnya akhirnya membuahkan hasil apabila beliau diumumkan sebagai Tokoh Usahawan Siswa 2025 di Anugerah Tokoh Siswa Negara anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi.
Beliau berjaya membawa pulang trofi, sijil penghargaan, wang tunai RM2,000 serta geran mobiliti RM2,000.
“Kalau ada idea, mulakan walaupun kecil. Jangan tunggu ada modal besar atau rancangan yang sempurna. Penolakan itu biasa, kesilapan itu sebahagian daripada proses. Yang penting jangan cepat mengalah,” pesannya.
Tarikh Input: 03/10/2025 | Kemaskini: 03/10/2025 | hairul_nizam
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA