Putrajaya FOI 2026 Perluas Jaringan, Buka Peluang Kolaborasi Warga UPM | Universiti Putra Malaysia 99 spel
» BERITA » Putrajaya FOI 2026 Perluas Jaringan, Buka Peluang Kolaborasi Warga UPM

Putrajaya FOI 2026 Perluas Jaringan, Buka Peluang Kolaborasi Warga UPM

 

Oleh: Zarith Sofea Ibrahim

 

PUTRAJAYA, 20 November – Festival Idea Putrajaya (Putrajaya FOI) 2026 menjadi platform penting dalam memperluas perkongsian ilmu, membina jaringan kerjasama serta membuka peluang kepada warga universiti untuk meneroka perkembangan terkini dalam bidang akademik, penyelidikan dan industri.

 

Penganjuran Putrajaya FOI 2026 yang menghimpunkan pakar daripada pelbagai bidang itu memberi manfaat kepada pelajar, pensyarah dan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM), khususnya melalui pendedahan kepada idea baharu, teknologi serta keperluan industri semasa.

 

Pengetua Kolej Tan Sri Aishah Ghani, Prof. Madya Dr. Daljit Singh Karam Singh, berkata Putrajaya FOI 2026 memberi peluang kepada pelajar dan warga universiti untuk mendapatkan perkongsian daripada pakar universiti serta industri, selain mengetengahkan idea dan pandangan mereka sendiri.

 

 

“Idea yang dikemukakan oleh golongan muda wajar diberi perhatian kerana berpotensi dimanfaatkan untuk pembangunan pada masa hadapan.

 

“Golongan pelajar muda mempunyai banyak idea bernas yang boleh dimanfaatkan pada masa kini mahupun akan datang. Idea-idea ini perlu diberikan perhatian dan disesuaikan mengikut keperluan serta keadaan semasa,” katanya.

 

Sementara itu, Pensyarah Jabatan Sains Tanaman, Fakulti Pertanian, UPM, Dr. Mohd Hadi Akbar Basri, berkata Putrajaya FOI 2026 membuka ruang perkongsian kepakaran daripada sektor kerajaan dan industri, khususnya dalam memperkukuh agenda keterjaminan makanan negara.

 

 

“Platform ini membantu pelajar memahami hubungan antara pembelajaran di dalam bilik kuliah dengan keperluan sebenar industri serta memberi gambaran mengenai peluang kerjaya selepas tamat pengajian.

 

“Program ini membuka mata pelajar tentang sejauh mana pendidikan boleh dihubungkan dengan industri. Ilmu yang dipelajari bukan sekadar di dalam kelas malah boleh diterjemahkan dalam industri bagi menjamin peluang pekerjaan kepada pelajar,” katanya.

 

Dalam aspek penyelidikan pula, Pegawai Penyelidik Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan (ITAFoS) UPM, Dr. Aida Zakaria, berkata, Putrajaya FOI 2026 merupakan platform yang baik untuk warga akademik bertukar idea dan membina jaringan kerjasama.

 

 

“Pensyarah berpeluang membawa idea baharu ke bilik kuliah dan penyelidik dapat mengenal pasti rakan kolaborasi bagi mengembangkan penyelidikan masing-masing.

 

“Pelajar dapat berinteraksi dengan pakar untuk melihat bagaimana ilmu yang disampaikan contohnya dalam bidang keterjaminan makanan boleh digunakan untuk menangani isu sebenar yang berlaku pada masa kini,” katanya.

 

Mengulas penyertaan warga universiti, Pengetua Kolej Dua Belas, Prof. Madya Dr. Siti Suriawati Isa, berkata penganjuran Putrajaya FOI 2026 yang memasuki edisi ketiga menunjukkan perkembangan positif dari segi pengisian dan pengurusan, selain merangkumi pelbagai bidang yang sesuai untuk semua lapisan masyarakat.

 

 

“Pelajar berpeluang membina jaringan, berkenalan dengan mahasiswa daripada universiti lain serta mempelajari perkembangan terkini teknologi kecerdasan buatan,” katanya.

 

Dalam pada itu, Pensyarah Fakulti Pertanian UPM, Dr. Mohd Hakiman Awang @ Mansor, berkata Putrajaya FOI 2026 memberi manfaat kepada pensyarah melalui perkongsian kaedah pengajaran yang lebih berkesan, khususnya dalam mendekati generasi muda.

 

 

“Pendedahan kepada sesi bersama pihak industri membantu pelajar memahami kemahiran dan keperluan yang dicari oleh majikan sebelum melangkah ke alam pekerjaan,” katanya.

Tarikh Input: 20/11/2026 | Kemaskini: 20/11/2026 | zarithsofea

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BZLVBAi~