Oleh: Muhammad Nur Syazwan Wafiy Mohd Aseri

SERDANG, 24 November – Kelab Pengacaraan Universiti Putra Malaysia (UPM) terus menjadi tulang belakang kelancaran Majlis Konvokesyen UPM apabila sekali lagi diberi tanggungjawab mengemudi tugas pengacaraan dan penyebutan nama graduan melalui pemilihan bakat yang rapi serta latihan yang tersusun.
Penolong Pendaftar Pejabat Naib Canselor yang juga penasihat kelab, Raja Muhammad Muzamir Raja Mahadi, berkata Kelab Pengacaraan UPM kini menjadi antara elemen terpenting dalam protokol Majlis Konvokesyen, khususnya melalui peranan para penyebut nama yang perlu memastikan setiap nama graduan diumumkan dengan tepat, jelas dan berhemah.
“Setiap tahun, proses pemilihan dibuat melalui program uji bakat ‘Pencarian Suara Emas’ yang dibuka kepada seluruh warga kampus. Kami memilih pelajar yang benar-benar mempunyai kualiti suara emas serta keyakinan,” katanya.

Menurut beliau, tugas sebagai penyebut nama tidak boleh dilihat sekadar membaca senarai graduan, sebaliknya merupakan platform latihan pengacaraan rasmi yang berperanan membina keyakinan, disiplin dan profesionalisme pelajar.
“Peranan ini bukan sahaja kritikal dalam memastikan majlis berjalan lancar, malah membuka ruang kepada pelajar untuk mengasah bakat mereka sebagai pengacara majlis. Ramai dalam kalangan mereka kemudiannya diberi kepercayaan mengendalikan majlis di peringkat fakulti, universiti dan jemputan luar,” ujarnya.
Beliau menambah, latihan intensif yang dijalankan meliputi sebutan nama yang betul, intonasi suara, kawalan tempo serta etika pengacaraan dalam majlis penuh istiadat, sekali gus mempersiapkan pelajar dengan kemahiran komunikasi bertaraf profesional.
Salah seorang penyebut nama, pelajar Bacelor Sains Pengajian Makanan dengan Kepujian dari Fakulti Sains dan Teknologi Makanan (FSTM), Farwizah Hazwani Abd Hamid, berkata penglibatannya selama tiga tahun dalam pasukan tersebut memberi pengalaman berharga dalam pembangunan diri dan kemahiran komunikasi.

“Penyertaan dalam pasukan ini sangat membantu saya dari segi keyakinan diri dan keupayaan berkomunikasi. Namun, bagi saya, belajar tetap menjadi keutamaan. Semua tugasan kuliah saya selesaikan terlebih dahulu sebelum latihan supaya dapat memberi tumpuan sepenuhnya ketika sesi persediaan,” katanya.
Beliau turut berkongsi bahawa aspek penjagaan suara menjadi disiplin penting menjelang Majlis Konvokesyen.
“Saya elakkan minuman berais dan makanan berminyak dua hingga tiga minggu sebelum majlis. Penjagaan suara ini sangat mempengaruhi kualiti sebutan dan kestabilan suara sepanjang sidang,” jelasnya.
Peranan Kelab Pengacaraan UPM dalam Majlis Konvokesyen bukan sahaja menyokong kelancaran perjalanan majlis, tetapi turut mencerminkan komitmen universiti dalam memupuk bakat pelajar secara menyeluruh, bukan hanya dari sudut akademik, malah dalam aspek pengacaraan, komunikasi dan profesionalisme.
Melalui pemilihan bakat yang sistematik, latihan berstruktur dan ruang pendedahan di pentas berprestij, Kelab Pengacaraan UPM terus menjadi platform penting dalam melahirkan generasi pelajar yang petah berbicara, berdisiplin serta bersedia menyumbang kepakaran mereka dalam pelbagai majlis rasmi di dalam dan luar universiti.
Date of Input: 25/11/2025 | Updated: 25/11/2025 | hairul_nizam

43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA