
Oleh: Ameesya Aghniya Ab Rahim
SERDANG, 25 November – Koperasi Universiti Putra Malaysia (KUPUTRA), Universiti Putra Malaysia (UPM) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Hijrah Al-Haramain Travel and Tours Sdn. Bhd. bagi melaksanakan kerjasama dalam penjanaan peluang ekonomi serta menyediakan kemudahan pembiayaan umrah kepada anggota KUPUTRA.
MoU ini menzahirkan komitmen kedua-dua pihak untuk memperkukuh kerjasama strategik melalui penyediaan pakej umrah yang komprehensif, di samping memberi peluang kepada anggota KUPUTRA menikmati kemudahan pembiayaan yang tersusun serta menerima bimbingan lengkap sepanjang proses mengerjakan umrah, sekali gus menyokong usaha UPM dalam memastikan kebajikan dan pembangunan kesejahteraan warga universiti terus diperkukuh.
Naib Canselor UPM, Dato’ Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata KUPUTRA telah berdiri teguh selama 50 tahun dan berkembang menjadi sebuah organisasi matang dengan keanggotaan seramai 3,000 orang, memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesejahteraan ekonomi dan sosial staf UPM.
“Kerjasama ini membuka akses ibadah yang lebih mudah dan mampan serta mengukuhkan usaha universiti menjaga kesejahteraan warga kampus,” katanya.
Pengerusi KUPUTRA, Dr. Paiman Bawon pula berkata KUPUTRA mengambil langkah signifikan dengan menerokai kerjasama dalam perkhidmatan umrah, satu inisiatif yang tidak dibuat secara terburu-buru tetapi berasaskan maklum balas anggota yang menunjukkan minat tinggi terhadap perkhidmatan umrah yang diyakini.
“Kerjasama ini bukan sahaja membuka pintu baharu kepada anggota untuk menunaikan ibadah dengan lebih terjamin, malah ia memberi peluang kepada KUPUTRA untuk memperkukuh peranannya sebagai koperasi yang relevan dan progresif.
“Kami juga berhasrat untuk terus meluaskan jaringan perkhidmatan KUPUTRA agar anggota menikmati manfaat yang lebih menyeluruh, bukan sahaja dalam aspek ekonomi tetapi juga dalam pembangunan sahsiah, kebajikan dan kerohanian,” ujarnya.
Dalam pada itu, kerjasama strategik ini bukan sekadar dokumen rasmi, tetapi sebuah usaha yang penuh barakah dengan membuka laluan pembiayaan ibadah umrah kepada warga UPM.
Date of Input: 26/11/2025 | Updated: 26/11/2025 | aghniya

43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA