Pelajar UPM Perkasa Sukarelawan Dan Budaya Di Korea Selatan | Universiti Putra Malaysia 99 spel
» NEWS » Pelajar UPM perkasa sukarelawan dan budaya di Korea Selatan

Pelajar UPM perkasa sukarelawan dan budaya di Korea Selatan




SERDANG, 9 Ogos
 – Seramai 21 mahasiswa Sekretariat Kesukarelawanan dan Pengantarabangsaan, Majlis Perwakilan Kolej, Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee (KTMB), Universiti Putra Malaysia (UPM) sesi 2024/2025 telah menyertai program mobiliti outbound bertajuk Kimchi Chronicles: KTMB di Jeonbuk National University (JBNU), Jeonju, Korea Selatan, baru-baru ini.

Pengarah Program, Khalisah Assyazalin Zulkifli, berkata program ini menjadi platform pembelajaran berterusan yang menggabungkan elemen akademik, kemahiran insaniah serta nilai kesukarelawanan.

“Penglibatan peserta dalam program ini memberi peluang untuk merasai pengalaman belajar di luar negara sambil menyumbang kepada komuniti tempatan. Ia membentuk pelajar UPM yang lebih berdaya saing, berpengetahuan dan berfikiran terbuka,” katanya.

Tambah beliau, program ini turut memperkukuh jaringan kerjasama antarabangsa, memperluas kefahaman tentang budaya luar serta memupuk semangat kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa.

Pelajar Bacelor Sains Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan (Kepujian), Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), UPM, Wan Wardatul Aiman Wan Raselan, berkata pengalaman yang diperoleh memberikan perspektif baharu tentang kepelbagaian budaya dan nilai kemanusiaan.

“Saya belajar erti kesukarelawanan yang melangkaui batas bahasa dan negara. Walaupun berbeza budaya, semangat untuk membantu dan berkongsi ilmu tetap sama,” ujarnya.

Pelajar Bacelor Sains Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan (Kepujian), FPSK, UPM, Amni Zahira Saiful Anuar, berkata pengalaman berada di Jeonju membuka peluang untuk mengenali secara dekat keunikan budaya masyarakat Korea.




“Saya kagum dengan cara masyarakat Korea menjaga adab khususnya dalam menghormati orang yang lebih tua serta mengekalkan tradisi dalam kehidupan moden. Aktiviti seperti memakai Hanbok, belajar bahasa dan memasak makanan tradisi menyedarkan saya bahawa budaya bukan sekadar warisan tetapi identiti yang membentuk jati diri masyarakat mereka,” katanya.

Selain itu, sukarelawan dari KTMB turut melaksanakan aktiviti gotong-royong membersihkan Masjid Abu Bakar Al-Siddiq di Jeonju serta menyediakan makanan dan minuman untuk komuniti tempatan yang hadir menunaikan ibadah di masjid tersebut.

Para pelajar juga turut mempersembahkan budaya berbilang kaum Malaysia melalui pakaian tradisional, risalah informatif serta hidangan seperti dodol, muruku, dan Heong Peah. Serta memperkukuhkan interaksi dengan pelajar JBNU yang lebih erat untuk kerjasama masa akan datang.

Dalam pada itu, program ini turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya Pendidikan Berkualiti (SDG 4) dan Perkongsian untuk Matlamat (SDG 17) yang menjadi tonggak utama UPM.

Date of Input: 10/09/2025 | Updated: 10/09/2025 | syamilakamarul

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BYJLCAh~