Pensyarah Antarabangsa UPM Sarawak Perkukuh Ilmu Tropika, Raikan Kepelbagaian Budaya Sarawak | Universiti Putra Malaysia 99 spel
» NEWS » Pensyarah antarabangsa UPM Sarawak perkukuh ilmu tropika, raikan kepelbagaian budaya Sarawak

Pensyarah antarabangsa UPM Sarawak perkukuh ilmu tropika, raikan kepelbagaian budaya Sarawak

Oleh: Noor Eszereen Juferi

  

BINTULU, 31 Oktober – Pengalaman mengajar di Sarawak membuka lembaran baharu buat Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan, Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS), Dr. Bura Paul Thlama, apabila beliau bukan sahaja memperkaya kepakaran dalam sains haiwan tropika, tetapi turut menimba pengalaman berharga menyelami keindahan kepelbagaian budaya masyarakat tempatan yang hidup harmoni dalam satu komuniti.

 

Berasal dari Borno State, Nigeria, Dr. Bura Paul mengakui kekagumannya terhadap keharmonian dan semangat perpaduan pelbagai etnik di Sarawak seperti Iban, Melayu, Cina, Melanau, Bidayuh dan Kayan, yang menurutnya menjadi inspirasi dalam membentuk pendekatan pengajaran berteraskan nilai kemanusiaan dan kepelbagaian budaya di UPMS.

 

“Keindahan budaya, keunikan landskap dan nilai toleransi masyarakat di sini menjadikan UPMS tempat terbaik untuk saya terus berkembang, bukan sahaja sebagai ahli akademik, tetapi juga sebagai insan,” katanya.

 

Mengulas cabaran mengajar di Sarawak, beliau mengakui faktor cuaca, budaya dan bahasa tempatan pada awalnya menuntut penyesuaian diri yang besar serta sokongan daripada warga kampus dan pelajar sebagai kunci kejayaannya menyesuaikan diri.

 

“UPM bukan sekadar tempat saya bekerja, tetapi sebuah komuniti yang menyokong, menghargai dan mengiktiraf setiap usaha warganya. Ia menjadi platform terbaik untuk saya membina kerjaya akademik yang bermakna,” katanya.

 

Dengan latar belakang dalam kesihatan haiwan tropika, Dr. Bura Paul menekankan pendekatan pembelajaran berasaskan komuniti dan penyelesaian masalah sebenar dalam pengajaran dan penyelidikan.

 

Selain itu, melalui Program Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM) bagi kursus Practices of Veterinary Medicine (AHP2605), beliau berjaya menggabungkan amalan veterinar berasaskan bukti dengan elemen epidemiologi lapangan, biosekuriti serta pengurusan kesihatan kawanan.

“Saya percaya bahawa ilmu yang diajar di universiti harus diterjemahkan dalam bentuk amalan di lapangan, khususnya untuk manfaat komuniti petani dan penternak,” katanya.

 

Kini, Dr. Bura Paul berkhidmat di Jabatan Sains Haiwan dan Perikanan, dan terlibat dalam pengajaran kursus seperti Kaedah Penyelidikan, Pembiakan Haiwan, Anatomi Haiwan, Penyakit Haiwan dan Klinik Veterinar bagi Program Diploma Kesihatan dan Pengeluaran Haiwan.

 

Selain itu, beliau turut memberikan khidmat teknikal kepada penternak kecil di Bintulu dalam aspek kesihatan ternakan, biosekuriti serta pengurusan pembiakan melalui kerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Sarawak.

Dr. Bura Paul berkata, penyelidikannya memberi tumpuan kepada pemantauan kesihatan dan kawalan penyakit ruminan dalam persekitaran tropika, selaras dengan usaha Malaysia meningkatkan produktiviti ternakan dan keterjaminan makanan negara.

 

“Sebagai penyelidik saya terdorong untuk menterjemahkan dapatan kajian kepada penyelesaian praktikal bagi penternak dan pembuat dasar,” katanya. 

 

Beliau turut berterima kasih kepada UPMS atas peluang untuk berkhidmat serta mencapai kemajuan kerjaya dan menjadikan perjalanan beliau bermakna di ‘Menara Ilmu’ ini. 

 

“Saya akan terus berusaha memajukan kesihatan haiwan serta pengeluaran ternakan lestari di Malaysia Timur bagi menonjolkan peranan UPM Sarawak sebagai universiti pertanian terulung di rantau Borneo,” katanya.

 

Sebelum ini, Dr. Bura Paul menamatkan pengajian Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Perubatan Ruminan, khususnya Epidemiologi Penyakit Parasit, di Fakulti Perubatan Veterinar (FPV), Universiti Putra Malaysia, dan menerima Anugerah Tesis PhD Terbaik (MVP) bagi Sesi Akademik 2020/2021.

 

Beliau turut memiliki Ijazah Doktor Perubatan Veterinar (DVM) dan Sarjana Sains Veterinar (MVSc) dari Universiti Maiduguri, Nigeria, dengan pencapaian akademik cemerlang. Sebelum menyertai UPM pada 2022, beliau berkhidmat hampir sedekad sebagai pakar klinikal dan penyelidik di Hospital Pengajaran Veterinar Universiti Maiduguri, termasuk sebagai Penyelaras Hospital Pengajaran Veterinar (2016–2018; 2021–2022).

 

Date of Input: 31/10/2025 | Updated: 31/10/2025 | eszereen

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BYLBDAI~