Projek Putra ROBECARE Bentuk Sukarelawan Pelajar, Baiki Jubah Konvokesyen | Universiti Putra Malaysia 99 spel
» NEWS » Projek Putra ROBECARE bentuk sukarelawan pelajar, baiki jubah konvokesyen

Projek Putra ROBECARE bentuk sukarelawan pelajar, baiki jubah konvokesyen




SERDANG, 27 Ogos
 – Universiti Putra Malaysia (UPM) melalui Pejabat Pentadbiran Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) memperkenalkan inisiatif sulung, Projek Putra ROBECARE, yang melibatkan sukarelawan pelajar dalam kerja membaik pulih jubah konvokesyen.

Ketua Bahagian Urus Tadbir Akademik, UPM, Norazlina Zulkefli berkata, projek rintis itu membantu universiti menjimatkan kos memandangkan harga sehelai jubah baharu boleh mencecah sehingga RM300.

"Projek ini bukan sahaja membantu universiti menjimatkan kos, malah memberi nilai tambah kepada pelajar yang menyertainya. Mereka memperoleh pengalaman baharu yang boleh dikembangkan sebagai kemahiran dan peluang keusahawanan,” katanya.

Penyelaras projek, Dr. Rahimah Jamaluddin, berkata inisiatif itu tercetus selepas mendapati sebahagian graduan menghadapi masalah jubah rosak seperti butang tertanggal atau velcro longgar ketika hari konvokesyen.



"Sebagai langkah awal, sebanyak 261 jubah Bacelor berjaya dibaiki dalam tempoh dua hari dengan bantuan 11 pelajar Fakulti Pengajian Pendidikan (FPP). Mereka menunjukkan semangat tinggi dan teruja untuk menjayakan projek ini,” ujarnya.

Beliau menjelaskan antara kerosakan yang kerap dibaiki termasuk cangkuk mata butang, velcro yang lusuh serta tetasan jahitan pada jubah graduan.

"Semua pembaikan dilakukan sendiri oleh pelajar dengan bimbingan tenaga pengajar. Saya berharap program ini dapat diteruskan kerana ia memberi pengalaman serta peluang penjanaan pendapatan kepada pelajar semasa cuti semester,” tambahnya.

Selain memberi manfaat kewangan, projek ini juga menjadi platform inovatif untuk melatih pelajar dengan kemahiran praktikal serta menyokong agenda kelestarian universiti melalui penjagaan semula jubah konvokesyen.

Bagi pelajar Bacelor Pendidikan (Sains Pertanian), FPP, UPM, Muhammad Ezzat Hakimy Jamalizi, 23, kemahiran menjahit yang diperoleh daripada ibunya banyak membantu beliau menyesuaikan diri dalam projek tersebut.




"Walaupun bidang saya berkaitan pertanian, penglibatan dalam projek ini memberi pengalaman baharu dan ilmu sepanjang hayat. Sekurang-kurangnya saya boleh menjahit pakaian sendiri yang rosak dan berjimat kos,” katanya.

Seorang lagi peserta, pelajar Bacelor Pendidikan Sains Rumah Tangga dengan Kepujian, FPP, UPM, Nurul Najikhah Rozali, 30, berkata minatnya dalam dunia jahitan mendorong beliau menyertai projek itu.

"Saya berpeluang meneliti fabrik serta reka bentuk jubah UPM dengan lebih mendalam, selain menambah pengetahuan tentang teknik jahitan,” ujarnya.

Projek Putra ROBECARE membuktikan komitmen UPM dalam melahirkan pelajar berkemahiran holistik, di samping menekankan aspek kelestarian dan keusahawanan selaras dengan aspirasi universiti sebagai institusi berimpak tinggi.

Date of Input: 28/08/2025 | Updated: 28/08/2025 | syamilakamarul

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BYIcXAc~