UPM Ketengahkan Inovasi Pertanian Hadapi Ketidaktentuan Global | Universiti Putra Malaysia 99 spel
» NEWS » UPM Ketengahkan Inovasi Pertanian Hadapi Ketidaktentuan Global

UPM Ketengahkan Inovasi Pertanian Hadapi Ketidaktentuan Global

 

Oleh: Zarith Sofea Ibrahim

 

Foto oleh: Mohammad Izrul Abdul Jabar

 

PUTRAJAYA, 20 Nov – Penyelidikan dan inovasi dalam sektor agromakanan perlu terus diperkasakan bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap import bahan mentah serta memperkukuh daya tahan sistem makanan negara dalam menghadapi ketidaktentuan geopolitik global.

 

Pengarah, Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan (ITAFoS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Anjas Asmara Samsudin, berkata universiti dan institusi penyelidikan mempunyai peranan penting dalam membantu kerajaan membangunkan sumber makanan alternatif serta meningkatkan keupayaan pengeluaran makanan tempatan.

 

“Antara usaha penyelidikan UPM ialah pembangunan sumber protein alternatif daripada larva lalat askar hitam (Black Soldier Fly larvae) yang berpotensi menyumbang hampir 60 peratus protein dalam makanan ternakan, sekali gus mengurangkan penggunaan kacang soya yang banyak diimport.

 

"Di ITAFoS UPM kita telah pun atau dalam proses membangunkan alternatif protein daripada serangga yang kita panggil sebagai larva lalat askar hitam. Dengan teknologi termaju yang terkini, kita dapat meningkatkan kecekapan penghasilan larva ini bagi mengurangkan penggunaan kacang soya," katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel Forum Keterjaminan Makanan @ Festival Idea Putrajaya (FOI) 2026 bertajuk Kegelisahan Global dalam Menghadapi Ketidaktentuan Geopolitik: Bersediakah Kita? yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

 

Prof. Dr. Anjas Asmara berkata, UPM turut membangunkan tanaman fodder sorghum atau sekoi makanan ternakan sebagai alternatif kepada jagung bagi memenuhi keperluan makanan haiwan ruminan.

 

 

“Tanaman tersebut menghasilkan daun dan batang dengan hasil yang tinggi bagi setiap hektar serta mempunyai kandungan tenaga dan gula yang hampir sama dengan jagung hijau, sekali gus berpotensi membantu penternak mengurangkan kebergantungan terhadap sumber makanan ternakan import,” katanya.

 

Tambah beliau, UPM turut menyumbang kepada sektor pertanian dan penternakan menerusi pembangunan vaksin penyakit Newcastle dalam ayam serta vaksin ikan bagi membantu menangani masalah penyakit dalam sektor akuakultur.

 

“UPM juga menerima peruntukan sebanyak RM24 juta daripada Kementerian Ekonomi bagi pembangunan Pusat Benih Negara yang bertujuan memastikan penghasilan benih berkualiti serta menyediakan kemudahan penyimpanan benih untuk kegunaan jangka panjang.

 

"Melalui pembangunan Pusat Benih Negara ini, sedikit sebanyak ia dapat membantu memastikan benih yang dihasilkan dalam negara berkualiti dan boleh disimpan untuk tempoh yang panjang. Kita juga membuka ruang kepada penternak dan pesawah untuk menyimpan benih padi mereka bagi kegunaan masa hadapan," katanya.

 

Beliau turut berkongsi pembangunan produk CarboTech, iaitu penggalak fotosintesis yang telah digunakan dalam projek SandboxTani di Sekinchan bagi membantu meningkatkan penyerapan cahaya matahari dan penghasilan biji padi yang lebih berisi.

 

Mengulas lanjut mengenai peranan universiti, Prof. Dr. Anjas Asmara menegaskan penyelidikan perlu berasaskan keperluan sebenar industri dan komuniti supaya hasil inovasi dapat dimanfaatkan secara lebih meluas.

 

"Kita tidak boleh hanya menghasilkan produk berdasarkan apa yang kita fikir mampu membantu rakyat, tetapi perlu turun kepada rakyat, komuniti dan industri untuk mengetahui keperluan sebenar mereka.

 

"Penglibatan pihak industri dari peringkat awal amat penting supaya produk yang dihasilkan dapat dirasai manfaatnya oleh industri dan komuniti," katanya.

 

Sementara itu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Haji Mohamad Sabu, berkatakonflik antarabangsa, perang perdagangan dan gangguan laluan perkapalan strategik memberi kesan langsung kepada kos pengeluaran serta bekalan makanan dunia."

 

 

“Kenaikan kos bahan api, pengangkutan dan logistik serta sekatan eksport oleh negara pengeluar makanan turut memberi tekanan kepada harga input pertanian seperti baja, racun dan makanan ternakan.

 

"Makanan hari ini bukan lagi sekadar komoditi dagangan, makanan telah menjadi senjata geopolitik," katanya ketika menyampaikan ucapan pembukaan forum tersebut.

 

Tambah beliau, kerajaan terus memperkukuh daya tahan bekalan makanan domestik menerusi Dasar Keterjaminan Makanan Negara 2030, Dasar Agromakanan Negara 2.0 dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).

 

“Jumlah dagangan sektor agromakanan negara meningkat 2.3 peratus kepada RM151.52 bilion pada 2025 berbanding RM148.11 bilion pada 2024, manakala defisit imbangan dagangan agromakanan berjaya dikurangkan kepada RM33.92 bilion berbanding RM39.34 bilion pada tahun sebelumnya.

 

"Kesiapsiagaan negara digerakkan melalui empat mekanisme utama, iaitu stok penimbal strategik, kepelbagaian rangkaian bekalan, koordinasi rentas kementerian dan protokol tindak balas pantas.

 

"Antara langkah yang diambil termasuk memperbanyakkan stok ikan sejuk beku sebagai persediaan menghadapi fenomena El Niño, mendapatkan bekalan daripada negara alternatif serta menggerakkan penanaman tanaman kontan jangka pendek yang boleh dituai dalam tempoh 30 hingga 60 hari," katanya.

 

Dalam pada itu, Pengarah Operasi Farm Fresh Berhad, Azmi Zainal berkata, antara cabaran utama industri penternakan ialah kebergantungan terhadap bahan mentah import, khususnya bijirin yang digunakan sebagai makanan ternakan.

 

 

Beliau berkata, pengalaman konflik Rusia-Ukraine pada 2022 memberi kesan kepada bekalan bijirin yang diperlukan untuk makanan lembu, sekali gus memaksa syarikat mencari sumber import alternatif pada harga lebih tinggi.

 

"Kita boleh hasilkan makanan, tapi input makanan itu yang kita tidak kawal, yang di luar kawalan kita. Jadi kita terpaksa cari sumber baharu untuk mengimport dan sudah tentu apabila sumber baharu diperlukan dalam keadaan kritikal, harganya akan tinggi.

 

“Pembangunan industri pertanian memerlukan pelaburan jangka panjang memandangkan syarikat mengambil masa bertahun-tahun untuk mencapai pulangan modal, selain berdepan cabaran penyediaan infrastruktur seperti bekalan air, elektrik dan kos tanah,” katanya.

 

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Malayan Flour Mills Berhad, Azahari Arshad berkata, peningkatan skala pengeluaran merupakan antara faktor penting bagi memperkukuh industri makanan tempatan, selain penggunaan teknologi dan kerjasama strategik dengan pemain industri berpengalaman.

 

"Satu perkara yang kita kena pastikan adalah kita perlu meningkatkan skala. Kita kena cari jalan bagaimana untuk meningkatkan skala penanaman padi, penternakan ayam dan daging," katanya.

 

Tambah beliau, syarikatnya merancang melabur kira-kira RM1 bilion dalam tempoh empat hingga lima tahun bagi meningkatkan pengeluaran ayam daripada enam hingga tujuh juta ekor sebulan kepada 12 juta ekor sebulan pada fasa pertama, sebelum mencapai sasaran 20 hingga 22 juta ekor sebulan dalam tempoh lima hingga enam tahun akan datang.

 

"Bagi memastikan bekalan makanan tidak terjejas, kita telah beralih kepada sumber gandum alternatif dari Australia, Amerika Syarikat dan Kanada susulan konflik Rusia-Ukraine.

 

"Selain mempelbagaikan sumber import, kita juga meningkatkan kapasiti penyimpanan bagi menghadapi risiko gangguan rantaian bekalan global," katanya.

Date of Input: 20/11/2026 | Updated: 20/11/2026 | zarithsofea

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BZLUVAa~