UPM TUAI PADI RINTIS SKALA BESAR VARIETI RINTANG KEMARAU | Universiti Putra Malaysia
» NEWS » UPM TUAI PADI RINTIS SKALA BESAR VARIETI RINTANG KEMARAU

UPM TUAI PADI RINTIS SKALA BESAR VARIETI RINTANG KEMARAU

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari 
Foto: Noor Azreen Awang 
 
 
KOTA BHARU, 24 April - Sekumpulan penyelidik Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan (ITAFoS) dan Fakulti Pertanian (FP) Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menuai padi varieti baharu rintang kemarau dan berhasil tinggi yang dinamakan benih Climate Ready (CR) berskala besar di bendang Kampung Muring, Kelantan di sini hari ini.
 
Penyelidiknya, Dr Zulkarami Berahim berkata projek kajian tersebut merupakan projek rintis pertama benih CR yang dituai dengan skala besar iaitu seluas enam hektar dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Kemubu (KADA).
 
"Pembangunan tanaman padi iklim tersedia untuk jaminan makanan di Malaysia (Development of Climate Ready Rice for sustaining Rice Food Security) memberi tumpuan bagi menangani isu perubahan iklim bagi tanaman padi.
 
"Kajian asas bagi menghasilkan varieti ini telah bermula sejak 2013 yang diketuai oleh Prof Dr Mohd Razi Ismail melalui siri penyelidikan asas yang dijalankan di UPM dan juga makmal Lancaster Environment Centre di Universiti Lancaster England," katanya.
 
 
Tambahnya lagi, benih CR sangat tahan lasak, kering dan mampu hidup dalam cuaca panas melampau seperti yang berlaku di sini.
 
"Jika kita lihat tali air di sini kering dan tiada air takungan untuk disalurkan ke kawasan padi namun padi yang ditanam tetap masih hidup dan subur, katanya.
 
Penyelidikan ini telah di biayai sepenuhnya oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui program Skim Geran Penyelidikan Jangka Panjang untuk jaminan makanan di Malaysia yang memberi tumpuan menangani isu perubahan iklim bagi tanaman padi.
 
Sementara itu, ketua projek Prof Dr Mohd Razi Ismail berkata, varieti benih ini dijangka sedia untuk dipasarkan kepada petani pada tahun hadapan kerana perlu melalui prosedur untuk mendapatkan pengesahan varieti di bawah skim subsidi benih padi sah oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bagi pengesahan varieti padi baharu.
 
 
"Varieti baharu padi ini masih diperingkat kajian penentusahaan setempat atau Local Verification Trial (LVT) di tujuh jelapang padi utama Semenanjung Malaysia termasuk di kawasan luar jelapang dibawah pengurusan Jabatan Pertanian Malaysia.
 
"Kajian penentuusahaan setempat dilakukan untuk mendapat pengesahan dari pihak Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bahawa varieti padi kita ini setanding dengan varieti sedia ada," katanya.
 
Sementara itu, Pengerusi KADA, Muhammad Husin berkata kerjasama antara pihak UPM dan pesawah di Kelantan memberi nafas baharu kepada para pesawah untuk mengusahakan tanaman padi seterusnya menyokong agenda keterjaminan makanan.
 
 
"Saya amat bersyukur dan seronok melihat kepada padi yang kuning penuh dan hidup dalam keadaan subur walaupun tali air kering hasil penanaman padi varieti CR ini.
 
"Saya yakin hasil untuk benih padi tahan kemarau ini dapat membantu petani hadapi kemarau. Terima kasih kepada pihak UPM yang diketuai Prof Dr Mohd Razi Ismail dan pasukan penyelidik iaitu Dr Zulkarami Berahim dan Dr Asma'a binti Awang yang telah berikan komitmen berterusan dalam usaha menghasilkan varieti tahan kemarau ini. -UPM

Date of Input: 26/04/2024 | Updated: 26/04/2024 | ezzatyazhari

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BXFHGAf~